KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan penubuhan syarikat penerbangan tambang murah yang baharu dikenali sebagai Malindo Air.
Najib berkata syarikat penerbangan itu, hasil usahasama antara National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhd (Nadi) dan PT Lion Group, akan mula beroperasi pada 1 Mei tahun depan dan akan berpangkalan di KLIA 2.
Usahasama itu, katanya bukan sahaja mencatatkan satu lagi sejarah penting dalam industri penerbangan negara tetapi juga mencerminkan hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia.
"Pada pendapat saya, akronim MALINDO - gabungan indah nama Malaysia dan Indonesia yang mempunyai nilai sejarah yang amat signifikan, tetapi juga memaparkan pertalian sejarah yang sekian lama terjalin antara rakyat kedua-dua negara.
"Daripada segi untuk menjadi syarikat penerbangan terkenal, saya percaya nama ini akan menjadi jambatan bagi kedua-dua negara, menerusi rangkaian penerbangan yang luas yang akan menghubungkan banyak bandar raya dan bandar di rantau ini, membuka destinasi baharu untuk pelawat di Nusantara ini dan sekitarnya," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usahasama antara kedua-dua syarikat di sini.
Najib berkata cabaran besar dihadapi industri penerbangan hari ini adalah termasuk peningkatan ketara kos operasi,dan kenaikan harga bahan bakar, dan perkongsian pintar seperti yang dimeterai hari ini akan menawarkan pelbagai penjimatan kepada syarikat penerbangan baharu dan keefisienan daripada segi penyenggaraan pesawat serta peluang menerokai pasaran cergas oleh syarikat penerbangan tambang murah (LCC) yang baharu.
"Syarikat penerbangan perlu inovatif dan kreatif untuk membolehkannya terus mengaut keuntungan dan kekal sebagai satu perniagaan, tanpa berkompromi terhadap tahap perkhidmatan, kebolehpercayaan dan kebolehmampuan," katanya.
Mengenai unjuran dalam industri penerbangan global, Najib berpendapat aliran trafik udara dunia dijangka mengalami pertumbuhan pada kadar 5.1 peratus setahun untuk tempoh 20 tahun akan datang, manakala perjalanan udara di rantau Asia Pasifik dijangka berkembang sebanyak 6.7 peratus.
"Rantau Asia Pasifik menyumbang sebanyak 34 peratus daripada aliran trafik penumpang global dan ini dijangka meningkat hampir tiga kali ganda daripada 779.6 juta pada 2010 kepada lebih 2.2 bilion pada 2030 dengan Malaysia dijangka menyumbang 200 juta penumpang.
"Ini merupakan angka yang amat besar. Dan ia mewakili peluang amat besar bagi syarikat penerbangan dan amnya pemain industri penerbangan di rantau ini.
"Kita perlu bersedia untuk menerokai pasaran amat menguntungkan ini dan kesediaan bermakna memanfaatkannya dan melakukan perubahan pada hari ini bagi keadaan pasaran yang kita jangkakan esok," katanya.- Bernama
sumber:http://www.sinarharian.com.my/nasional/pm-umum-penubuhan-syarikat-penerbangan-tambang-murah-baharu-1.84133