LONDON - Umat Islam, yang marah dengan filem yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW, hari ini menyerang Kedutaan Jerman dan Britain di ibu negara Sudan, Khartoum.
Laporan BBC menyebut penunjuk perasaan membakar dan menurunkan bendera Jerman, dan menaikkan kain rentang dibawa mereka.
Perkembangan ini menunjukkan ini kali pertama kedutaan bukan Amerika Syarikat (AS) diserang. Kedutaan AS menjadi tumpuan penunjuk perasaan sejak awal minggu ini.
Tunjuk perasaan yang bermula Selasa lalu berlarutan di beberapa negara di rantau Timur Tengah dan Utara Afrika.
Tunjuk perasaan juga diadakan di beberapa lokasi di Malaysia, anjuran badan-badan bukan kerajaan dan parti politik.
Di Kaherah, polis Mesir melepaskan tembakan gas ke arah 500 penunjuk perasaan dalam usaha meleraikan mereka dari kawasan protes di pekarangan Kedutaan AS. Serangan juga disaksikan di Sanaa, ibu negara Yaman.
Presiden Mesir, Mohammad Mursi menggesa penunjuk perasaan agar bertenang.
Jalan-jalan utama di Kaherah dikenakan sekatan menggunakan dawai berduri, konkrit dan kenderaan polis.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/global/protes-umat-islam-merebak-sasar-jerman-dan-uk-1.85152