GUMPALAN rambut yang menyelaputi kapur tulis dikeluarkan dari perut seorang remaja.
NEW DELHI: Apabila seorang remaja mengadu tidak boleh makan atau minum selama beberapa hari, sekumpulan doktor memutuskan untuk mencari puncanya.
Tidak seperti dijangka, apa yang mereka temui sangat luar biasa.
Di dalam perut remaja perempuan itu ialah gumpalan rambut seberat hampir dua kilogram yang tersangkut di antara perut dan usus kecilnya.
Pakar perubatan India mendapati, remaja berusia 19 tahun itu mempunyai tabiat suka memakan rambut sendiri, selain kapur tulis jika dia berada di sekolah.
Gabungan ‘makanan’ aneh itu kemudian berkumpul dalam tubuh remaja terbabit sebelum lama-kelamaan menjadi besar.
Sepasukan pakar bedah dimaklumkan mengenai penemuan itu selepas remaja terbabit - dari Rajgarh dan Madhya Pradesh - berkunjung ke Hospital the Maharaja Yeshwantrao di Indore bulan lalu.
Diketuai Dr Parvinder Singh Lubana, mereka akhirnya berjaya mengeluarkan gumpalan rambut yang ‘membungkus’ kapur berkenaan.
Seorang daripada pakar bedah itu, Dr Amit Agarwal, berkata saluran usus remaja terbabit tersumbat menyebabkan dia tidak boleh mengambil makanan atau minuman selama beberapa hari.
Bagaimanapun, gumpalan rambut itu bukanlah yang terbesar pernah dikeluarkan dari tubuh seseorang dalam tempoh beberapa tahun lalu.
Pada November 2007, doktor di Amerika Syarikat (AS) menemui gumpalan rambut seberat hampir lima kilogram dalam perut seorang remaja perempuan.
Berusia 18 tahun ketika itu, remaja terbabit mendapatkan bantuan doktor selepas mengalami kesakitan dan bengkak perut selama lima bulan.
Imbasan menunjukkan ada gumpalan besar di bahagian perut remaja terbabit.
Lima hari selepas dikeluarkan, pesakit kembali makan secara normal dan dibenarkan pulang. - DM
sumber:http://cerita2pelik.blogspot.com/2012/10/2kg-rambut-kapur-dalam-perut.html