Derek Lewis, akhirnya menerima poskad yang dipos oleh rakannya, selepas 49 tahun. - AGENSI
BERKSHIRE, England 16 Nov. - Sepasang suami isteri di sini, terkejut apabila mereka menerima sekeping poskad berusia 49 tahun.
Jason Crabtree, 37, dan isterinya, Anna menerima poskad itu pada 29 Oktober lalu, yang dikirimkan atas nama Derek Lewis.
Katanya, poskad itu dihantar oleh Gudrun Rentrope dari Jerman pada 3 Mac 1963.
Setelah berusaha menjejaki penerima poskad tersebut, pasangan Crabtree akhirnya bertemu dengan Lewis yang dahulunya pernah tinggal di rumah yang mereka tinggal sekarang.
"Kami amat terkejut apabila melihat tarikh poskad tersebut, namun ia masih berada dalam keadaan baik, termasuk setem serta tulisannya.
"Kami tertanya-tanya mengapa poskad itu mengambil masa yang terlalu lama untuk dihantar kepada penerimanya," kata Jason.
Sementara itu, Lewis, 71, berasa gembira menerima poskad tersebut.
"Poskad itu dikirimkan oleh rakan saya, Rentrope dan kami saling berbalas-balas poskad sejak kami berusia 17 tahun.
"Poskad itu dihantar sebagai ucapan terima kasih kerana saya menjaga bapanya ketika dia melawat England," ujar Lewis.
Sementara itu, syarikat pos Royal Mail menafikan poskad tersebut hilang dalam sistem penghantaran mereka dan mendakwa ia mungkin baru dikirimkan, baru-baru ini. - AGENSI
sumber:http://infoisusemasa.blogspot.com/2012/11/poskad-diterima-selepas-49-tahun.html