Basha (kanan) bersama anaknya melihat ayam ternakannya.
JEMPOL - Letak jarum dalam telur. Itulah kaedah yang digunakan seorang penternak ayam untuk memastikan biawak tidak lagi memakan haiwan ternakannya.
Basha Sahan, 62, juga peneroka Felda di sini, berkata, sebelum ini, binatang liar itu sering mengganggu dan menghantuinya apabila telur ayam miliknya selalu lesap.
Akibatnya, dia kerugian beratus ringgit sekaligus menjejaskan sumber pendapatannya.
“Dari awal menternak ayam sehingga kini, tiada serangan penyakit berkaitan ayam, cuma ada gangguan biawak memakan telur ayam.
“Jadi untuk menyelesaikan masalah serangan biawak ini, saya gunakan satu kaedah dengan memasukan beberapa batang jarum ke dalam telur sebagai umpan. Akhirnya, biawak berkenaan tidak lagi datang menyerang ayam atau makan telurnya sehingga kini,” katanya
kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Basha berkata, dia memulakan projek ternakan ayam kampung di kawasan ladang kelapa sawit miliknya seluas kira-kira 4.04 hektar pada Jun 2009 di Felda Lui Muda.
“Peringkat awalnya hanya ada 10 ekor dan kemudian bertambah dari masa ke semasa.
Saya akui menternak ayam dekat kawasan ladang memang berisiko serangan binatang liar.
“Tetapi cara ini lebih sesuai dan berjauhan dari penempatanpenduduk.
Berikutan itu, dapat menghindarkan masalah lalat dan bau kepada penduduk berhampiran,” katanya.
Kini ternakan ayam Basha mencecah 700 ekor yang dipelihara secara semulajadi dan bebas di ladang.
Basha berkata, menternak ayam lebih menguntungkan apabila ayamnya menghasilkan benih kacukan baka daripada ayam hutan yang ada berkeliaran di kawasan ladangnya.
“Biasanya, pelanggan datang sendiri terutama di daerah Jempol dan Pahang. Kita jual sekitar RM11 sekilogram," katanya.
SUMBER:http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/letak-jarum-dalam-telur-1.109532