LABIS – Tindakan seorang pemuda meninggalkan motosikal bersama kunci di hadapan rumahnya di Kampung Usaha Jaya, dekat sini membawa padah apabila dibawa lari pencuri.
Bagaimanapun, mangsa, Mohammad Tarmizi Mohammad Yusuf, 15, bernasib baik apabila berjaya mendapatkan kembali motosikal milik bapanya itu selepas hampir sejam mengejar suspek dengan dibantu jemaah masjid.
Kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu berlaku ketika Mohammad Tarmizi masuk ke rumah mengambil dompet untuk ke kedai, sementara motosikalnya jenis Honda EX5 ditinggalkan bersama kunci di depan rumah.
Menurutnya, kira-kira 10 minit selepas itu, dia terdengar deruman enjin motosikal.
“Saya meluru keluar dan lihat seorang lelaki sedang menunggang motosikal saya dalam keadaan tergesa-gesa tanpa memakai topi keledar.
“Tanpa berfikir panjang, saya berlari kejar lelaki terbabit yang turut melalui sebuah masjid,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.
Katanya, nasibnya agak baik kerana ketika mengejar suspek, dia melintasi kira-kira 15 jemaah yang baru pulang dari solat Zuhur.
“Mereka turut serta membantu mengejar suspek sehingga menghala ke persimpangan Bekok lebih kurang 20 kilometer dari rumah saya. “Akibat motor kehabisan minyak, suspek bertindak mencampakkan motor itu di bahu jalan lalu meloloskan diri ke dalam kebun kelapa
sawit,” katanya.
Katanya lagi, suspek bagaimanapun akhirnya berjaya diberkas penduduk sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Hanafi Daud mengesahkan kejadian yang berlaku pada minggu lalu itu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri kenderaan.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/lelaki-curi-motosikal-dikejar-jemaah-masjid-selama-sejam-1.109537