KASAR, Pasir Mas – Jawatankuasa Masjid Kasar memohon bantuan orang ramai untuk mendapatkan van jenazah bagi kegunaan 4,500 penduduk dari tujuh kampung di sini.
Imam masjid, Zakaria Sulaiman berkata, van ini akan diguna penduduk di tujuh kampung iaitu Kampung Kasar, Jias, Kubang Bunut, Landar, Banggol, Pengkalan Batu dan Kolam.
“Selepas pelbagai usaha dijalankan, pihak masjid hanya mempunyai peruntukan sebanyak RM30,000.
“Kita berharap masyarakat dapat membantu kita untuk mengumpulkan dana bagi membeli van jenazah yang beharga RM98,000,” katanya semalam.
Sementara itu, ahli jawatankuasa (AJK) masjid, Abdul Aziz Awang Besar berkata, sebelum ini penduduk terpaksa menggunakan perkhidmatan lori pasir bagi mengusung jenazah ke tanah perkuburan.
“Penduduk menghadapi kesulitan sekiranya lori berada di luar kawasan, sekali gus membantutkan urusan pengebumian," katanya semalam.
Oleh itu, katanya, berbekalkan van ini kelak, penduduk dapat menyingkatkan masa untuk mencari van, kerana kemudahan tersebut disediakan oleh pihak masjid. AJK masjid, Ramli Zakaria pula berkata, kenderaan tersebut bukan sahaja digunakan sebagai van jenazah, tetapi sebagai kenderaan pelbagai guna, bagi kemudahan penduduk kampung.
“Ini bagi mengelakkan daripada van tersadai tanpa kegunaan dan tidak hanya tertumpu untuk menguruskan jenazah.
“Berbekalkan van serba guna ini kelak, kita dapat mengurangkan perbelanjaan untuk mengadakan pelbagai aktiviti keagamaan bersama komuniti,” katanya.
Bantuan boleh disampaikan kepada Masjid Mukim Kasar melalui akaun bank Rakyat, 22-088-326284-2.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/usung-jenazah-guna-lori-pasir-1.109900