Tinjauan Sinar Harian semalam mendapati tiga pekerja memasang CCTV tidak jauh dari lokasi AES ditempatkan.
SERDANG – “Saya langsung tidak tahu menahu mengenai pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di Kilometer 6.6 Lebuh raya Lembah Klang Selatan (SKVE),” kata Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu.
Beliau berkata, bukan Kerajaan Negeri yang melakukan pemasangan terbabit dan mendakwa ia dilakukan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurutnya, tiada mana-mana pihak yang mengemukakan permohonan kebenaran merancang dan mendakwa pihak yang memasang peralatan itu tiada hak berbuat demikian tanpa keizinan PBT.
“Saya tidak diberitahu apa-apa mengenai perkara ini (pemasangan CCTV), memang tiada permohonan dibuat sebelum ini malah kebenaran untuk memasang AES juga belum diterima kami.
“Kerajaan Negeri bertegas, dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis dikeluarkan 6 Disember lalu, sekiranya masih tiada kontraktor atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengemukakan permohonan, kita akan buka AES itu,” katanya, semalam.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian kira-kira jam 11.30 pagi semalam mendapati, tiga pekerja melaksanakan kerja-kerja pemasangan CCTV kurang lima meter dari kamera AES.
Pemasangan peralatan itu dipercayai bagi mengesan tindak tanduk pihak tidak bertanggungjawab selepas AES yang dipasang di situ pernah menjadi sasaran perbuatan vandalisme sebelum ini.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/nasional/ronnie-cctv-dekat-kamera-aes-bukan-kerja-kami-1.112794