JOHOR BAHRU: Dengan hanya bermodalkan gambar seekor cicak tokek milik orang lain, seorang penganggur dengan mudah mengaut lebih setengah juta ringgit selepas menipu beberapa individu termasuk penghidap HIV dari luar negara yang mahu memperoleh haiwan berkenaan, kononnya untuk tujuan perubatan.
Lebih malang, lelaki berusia 26 tahun itu turut menyamar sebagai anak bongsu pemilik cicak tokek berkenan, menjaja gambar keluarga warga emas itu, menyebabkan hidup keluarga terbabit kini tertekan kerana disalah anggap sebagai penipu.
Pemilik sebenar cicak tokek itu yang mahu dikenali sebagai Manaf, 70, berkata, perbuatan suspek terbongkar selepas beberapa mangsa penipuan lelaki itu menghubungi dan datang berjumpanya.
Manaf berkata, keluarganya mengenali suspek dikenali sebagai Zaid itu sejak September tahun lalu apabila dia datang ke rumahnya bersama seorang kenalan keluarga. “Saya sebenarnya berasal dari Singapura tapi kini menetap di Skudai. Sejak berkenalan dengan Zaid, empat kali dia datang ke rumah saya, namun sejak kali pertama datang dia begitu berminat dengan dua cicak tokek yang dipelihara keluarga saya.
“Malah, dia juga merakam gambar haiwan itu dengan alasan mahu menyimpannya sebagai kenangan dan saya tidak menghalang kerana menganggap ia perkara biasa,” katanya yang memelihara dua cicak tokek itu sejak tiga tahun lalu. Manaf berkata, kegiatan penipuan Zaid itu mula terbongkar 30 November lalu apabila seorang lelaki datang ke rumahnya dan bertanya mengapa dia masih belum menerima cicak tokek yang dijanjikan Zaid sedangkan dia sudah menyerahkan lebih RM300,000 kepada lelaki itu.
Menurutnya, keadaan menjadi lebih rumit apabila suspek turut menyamar sebagai anak bongsunya, Azri, 40, yang juga seorang seorang ahli perniagaan.
“Akibatnya, lima hingga enam mangsa ditipu Zaid menelefon dan memarahi anak saya. Mereka yang tinggal Terengganu, Brunei dan Australia mendakwa sudah membayar keseluruhannya lebih RM200,000 untuk mendapatkan cicak tokek.
“Saya difahamkan sebahagian mangsa penghidap HIV kerana cicak tokek dikatakan mujarab merawat penyakit berkenaan,” katanya.
Manaf berkata, berdasarkan maklumat mangsa, suspek dikatakan melelong cicak tokek didakwa seberat 500 gram dengan harga ratusan ribu ringgit sedangkan cicak tokek peliharaannya hanya seberat empat gram. “Saya kurang pasti sama ada dia menawarkan haiwan itu menerusi laman web tetapi mangsanya terdiri penduduk tempatan dan luar negara,” katanya. Manaf berkata, anaknya bersama seorang mangsa sudah membuat laporan di Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah, dekat sini, pada 1 Disember lalu. “Kami bimbangkan keselamatan keluarga memandangkan Zaid menjaja gambar keluarga kami ketika menipu mangsanya,” katanya.
sumber:http://www.hmetro.com.my/articles/JajafotokautRM500_000/Article