Van polis dibawa lari oleh banduan dijumpai ditinggalkan di kawasan semak di Padang Cempedak, iaitu kira-kira 20 kilometer dari tempat kejadian, hari ini. - Foto Bernama
BUTTERWORTH - Dua daripada sembilan tahanan, yang meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul empat anggota polis pengiring ketika dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di sini pagi tadi, berjaya ditangkap semula.
Sementara tujuh lagi dipercayai melarikan diri ke kawasan ladang kelapas sawit selepas berjaya membuka gari menggunakan kunci yang ada di dalam van berkenaan.
"Tujuh yang melarikan diri ini berusia antara 20 dan 30 tahun serta sangat berbahaya dan agresif," kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi dipetik Bernama petang ini.
Dalam kejadian pukul 9 pagi di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth itu, empat anggota polis terbabit turut ditolak keluar daripada van di tepi lebuh raya berkenaan.
Van itu dijumpai ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor dekat sini, kira-kira 20 kilometer dari tempat kejadian iaitu di Tol Bagan Ajam berhampiran Pantai Bersih, katanya kepada pemberita selepas melawat anggota polis yang cedera terbabit di Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini.
Mengulas rentetan kejadian, Abdul Rahim berkata, tahanan terbabit dibawa ke mahkamah bagi prosiding sebutan semula kes dan mendapat perintah tahanan reman.
"Ketika tiba di Tol Bagan Ajam iaitu berhampiran Pantai Bersih, seorang OKT (tahanan) yang dibawa itu berpura-pura bergaduh antara satu sama lain lalu menyebabkan anggota polis yang memandu van berkenaan memberhentikan kenderaan di tepi jalan.
"Semasa van itu berhenti, salah seorang daripada suspek itu bertindak membaling serbuk cili kepada anggota polis pengiring sehingga menyebabkan mata mereka pedih.
"Dalam masa yang sama mereka (sembilan OKT) bertindak memukul empat anggota polis pengiring terbabit dengan gari dan tangan mereka," katanya.
Abdul Rahim berkata, empat anggota polis yang mengalami kecederaan di mata, kepala dan kaki itu dirawat sebagai pesakit luar di HSJ.
"Empat anggota polis berusia 30-an itu dari Balai Butterworth, di sini mendakwa dihentak dan dipukul dengan gari dan kejadian itu berlaku dengan pantas," katanya.
Kes itu disiasat menurut Seksyen 223/224 kerana cuai dan 394 Kanun Keseksaan.
"Selain itu kita juga akan menyiasat empat anggota polis yang mengiringi mereka kerana mungkin kelalaian pihak polis kerana tidak membuat pemerikaan secara terperinci ketika mengambil OKT daripada penjara," katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/semasa/susulan-tahanan-lolos-2-berjaya-ditahan-semula-7-diburu-1.118941