SEORANG pengguna aplikasi Unicablink, Mohd Fariz Rusudio (kiri) dan pemandu teksi, Sukmawati Yusuf (kanan) menunjukkan kegunaan aplikasi berkenaan. Aplikasi Unicablink dilancarkan pada majlis pelancaran 'First GPS-enabled Taxi in Malaysia and Taxi Booking App by Sunlight Unicablink' yang disempurnakan oleh Tan Sri Syed Hamid Albar di sini, semalam.
Kuala Lumpur: Penumpang di Lembah Klang kini boleh membuat tempahan teksi secara dalam talian melalui iPhone dan telefon mudah alih pintar Android.
Sistem tempahan teksi dalam talian dan sistem kedudukan global (GPS) itu dilancarkan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar di sini, semalam. Ia dikendalikan syarikat Sunlight Unicablink.
Sedia perkhidmatan selesa
Pengarah Eksekutif Sunlight Unicablink, Choi Wei Yee, berkata sistem itu akan membolehkan syarikat teksi menyediakan perkhidmatan yang lebih selesa, cepat dan cekap kepada penumpang.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran di Bukit Bintang, beliau berkata teksi itu yang dilengkapi dengan GPS membolehkan ia mengesan penumpang dan menjadikan pemanduan lebih mudah.
“Pada masa ini kita mempunyai sekitar 3,000 pemandu teksi di bawah syarikat kami dan 1,000 sudah dipasang sistem ini.
“Kita berharap 1,000 lagi teksi akan menggunakannya menjelang akhir tahun ini. Pemandu teksi membayar RM180 sebulan untuk sistem ini,” katanya.
Tingkat pendapatan
Beliau berkata, penggunaan sistem ini dapat membantu meningkatkan pendapatan pemandu teksi sebanyak 50 peratus kerana mereka tidak lagi perlu memandu untuk mencari penumpang atau bersaing dengan pemandu teksi lain. - BERNAMA
sumber:http://www.bharian.com.my/bharian/articles/TempahteksigunaiPhone_Android/Article/