MOSCOW - Rusia mengerah pasukan seramai 20,000 anggota ke pergunungan Ural untuk operasi menyelamat dan membersih susulan insiden meteor seberat 10 tan terhempas di wilayah timur negara itu, semalam.
Presiden Vladimir Putin mengarahkan operasi itu bagi membantu 1,200 orang yang cedera termasuk 200 kanak-kanak, kebanyakannya cedera akibat terkena serpihan kaca.
Pancaran cahaya yang cukup terang dapat dilihat dan menggegarkan bangunan ketika meteor terhempas pagi semalam.
Putin turut menzahirkan rasa syukurnya kerana tiada serpihan meteor seberat 10 tan itu terhempas ke kawasan yang padat berpenduduk.
Ia bagaimanapun memasuki atmosfera bumi dan pecah kira-kira 30 hingga 50 kilometer dari atas tanah.
Menurut Akademi Sains Rusia, meteor itu melepaskan tenaga yang boleh menyamai senjata atom kecil.
“Letupan itu begitu kuat dan mampu memecahkan beberapa buah tingkap di bangunan kami dan bangunan sekitar,” kata Polina Zolotarevskaya, penduduk Chelyabinsk kepada BBC.
Rantau itu terletak kira-kira 1,500 kilometer ke timur Moscow dan merupakan pusat kepada banyak kilang, loji kuasa nuklear dan tempat penyimpanan sisa atom.
Kanak-kanak antara mangsa yang ramai cedera akibat hentaman meteor yang jatuh kira-kira jam 9.20 pagi waktu tempatan itu.
Video yang boleh ditonton menerusi laman web menunjukkan keadaan yang cukup cemas dan ramai kanak-kanak menjerit ketika meteor itu terhempas menyebabkan serpihan kaca berserakan di bangunan sekitar.
Sergei Serskov yang juga penduduk Chelyabinsk memberitahu BBC, bandar itu seolah-olah berada dalam zon perang selama kira-kira 20 hingga 30 minit ketika kejadian meteor itu terhempas.
“Ketika itu saya berada di dalam pejabat dan kemudian dapat melihat cahaya yang cukup terang melalui tingkap di hadapan saya,” katanya menceritakan detik-detik cemas semalam.
“Tidak lama kemudian, saya terhidu bau asap dan dapat melihat kepulan asap tebal dari tingkap,” katanya.
“Beberapa minit kemudian, tingkap tiba-tiba terbuka dan berlaku letupan yang besar diikuti beberapa kali letupan kecil,” katanya.
Gabenor Yurevich melaporkan yang meteor itu jatuh di sebuah tasik kira-kira satu kilometer dari Cherbarkul yang mempunyai penduduk seramai 46,000 orang.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/global/rusia-meteor-terhempas-semalam-beratnya-10-tan-1.131736