Akhbar The Star semalam melaporkan bahawa Cik Voon Su Ching (gambar), yang menjalankan usaha niaga mencuci dan membaik pulih kereta di Brunei, telah ke rumah rakannya itu untuk menjaga banglo itu.
Ini kerana pemilik banglo itu pulang ke kampung sempena cuti Tahun Baru Cina dan Cik Voon telah diberi kunci banglo tersebut.
Apabila rakannya pulang pada malam Ahad lalu, beliau menyedari terdapat dinding simen setinggi tiga meter yang meragukan di taman rumahnya.
Malah, beliau terhidu bau busuk dari arah dinding berkenaan. Pemilik banglo itu lalu membuat laporan polis esoknya.
Tindakannya membuat laporan itu membawa kepada penemuan mayat Cik Voon, lima hari selepas beliau dilaporkan hilang pada Rabu lalu.
Menurut akhbar Borneo Bulletin, Cik Voon dilaporkan hilang oleh suaminya selepas beliau keluar pada 11 pagi hari itu dan tidak pulang ke rumah.
Mengimbas hari isterinya disedari hilang, suami Cik Voon berkata, hari itu adalah hari lahir anak lelakinya dan isterinya telah keluar membeli kek.
"Saya menelefon isteri saya berulang kali tetapi tiada jawapan. Pada malam itu, saya menelefon polis.
"Isteri saya tidak akan meninggalkan kami kerana dia seorang isteri dan ibu yang penyayang," katanya.
Laporan The Star pula mengatakan pembunuh Cik Voon difahamkan telah menutup mayat wanita itu dengan beberapa keping zink sebelum 'menanamnya' dengan simen.
Pihak polis Brunei telah menahan seorang lelaki dalam usia lingkungan 40-an tahun bagi membantu siasatan. Dia didapati pernah menghantar dua trak simen ke banglo tersebut.
Polis juga masih cuba mengenal pasti motif pembunuhan itu, kata laporan akhbar itu lagi.
Menurut desas-desus, Cik Voon telah menjalin hubungan dengan seorang profesor dan telah membawanya bertemu dengan beberapa rakannya, baru-baru ini.
Rakan-rakannya menyifatkan Cik Voon sebagai seorang periang dan peramah, yang gemar berjenaka.
sumber:http://infoisusemasa.blogspot.com/2013/02/wanita-dilapor-hilang-ditanam-dengan.html