KUALA LUMPUR - Lebih daripada 49 peratus pekerja Malaysia yang menerima bonus menyatakan mereka tidak berpuas hati dengan bayaran bonus masing-masing, demikian menurut kaji selidik tahunan JobStreet.com.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat pengambilan pekerja online, JobStreet, berkata kebanyakan industri membayar purata bonus 1.5 bulan.
"Bonus tertinggi diterima, yang merupakan enam bulan atau lebih, dibayar oleh syarikat di dalam sektor kewangan dan perbankan, telekomunikasi dan peruncitan," katanya.
JobStreet berkata 40 peratus daripada mereka yang dikaji selidik berkata bonus masing-masing telah meningkat berbanding dengan tahun lepas dan 36 peratus berkata bonus masing-masing kekal sama manakala 25 peratus melaporkan bonus yang lebih rendah.
Katanya 36 peratus daripada responden berkata mereka akan berhenti kerja dari syarikat berkenaan kerana bonus masing-masing lebih rendah daripada jangkaan dan 25 peratus akan berbuat demikian walau apa pun faktor bonusnya.
JobStreet.com berkata bonus dan insentif lain, seperti kenaikan gaji dan manfaat syarikat, kekal menjadi faktor utama mengekalkan pekerja.
Sejumlah 4,543 pekerja, di mana 66 peratus merupakan eksekutif tahap kanan, mengambil bahagian di dalam kaji selidik itu. - Bernama