KUALA TERENGGANU - Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) meminta Kementerian Pelajaran mengisytiharkan cuti khas berganti untuk semua sekolah di Terengganu, Kedah dan Kelantan bagi membolehkan guru sertaka kitangannya keluar mengundi pada 5 Mei ini.
Setiausaha Agung Gagasan Syed Anuar Syed Mohamad berkata Gagasan juga berharap Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil langkah serupa agar semua warga IPT terutama mahasiswa dan pensyarah pulang mengundi pada tarikh itu.
"Kerajaan terutama kedua-dua kementerian berkenaan perlu menyelaraskan cuti khas berganti itu pada hari pengundian bagi memudahkan mereka pulang untuk mengundi.
"Pada hari itu, mereka yang tinggal di negeri yang hari minggu jatuh pada Ahad tidak akan hadapi masalah tetapi bagaimana pula dengan mereka yang tinggal di negeri lain termasuk Terengganu dan Kelantan.
"Kita kena ingat, ramai kalangan guru yang terpaksa merentasi negeri dan sebagai contoh, ada guru yang bertugas di Terengganu terpaksa pulang mengundi di kampung mereka di Kelantan, begitu juga sebaliknya," katanya kepada pemberita disini hari ini. - Bernama
sumber:http://www.sinarharian.com.my/nasional/gagasan-minta-kementerian-pelajaran-isytihar-cuti-5-mei-1.150592