IPOH - Seorang pemilik salun keliru apabila tidak dapat memperbaharui cukai jalan kereta BMW miliknya gara-gara wujud sebuah lagi kereta yang mempunyai spesifikasi sama yang didakwa berada di Selangor.
Mangsa, Khoo Lai Fun, 35, hanya mengetahui perkara tersebut ketika hendak memperbaharui cukai jalan di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak pada jam 2 petang Selasa lalu.
Menurutnya, kereta model BMW berwarna hitam bernombor pendaftaran AGK 2666 dibeli dari pusat jualan kenderaan terpakai pada 2008 itu tidak mempunyai sebarang masalah sehingga kelmarin.
“Sewaktu ingin memperbaharui cukai jalan, kakitangan JPJ bertugas memberitahu nombor pendaftaran kereta saya didaftarkan di JPJ Perak dan Selangor pada 2010.
“Saya pelik dengan maklumat diberikan berikutan kereta ini dibeli dan digunakan sejak 2008 tanpa sebarang masalah.
“Malah sebelum ini saya tidak menghadapi sebarang masalah untuk memperbaharui cukai jalan sejak 2008 hingga 2012,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Lai Fun berasa hairan apabila kakitangan JPJ memberitahu kereta kedua itu mempunyai nombor plat pendaftaran dan casis enjin yang sama dengan miliknya.
“Akibatnya, saya tidak dapat menggunakan kenderaan tersebut kerana gagal memperbaharui cukai jalan,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Bercham, pada hari yang sama.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan MCA dan Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Lee Kon Yin berkata, perkara tersebut tidak seharusnya berlaku memandangkan JPJ sudah menggunakan sistem komputer untuk menyimpan segala data.
Berikutan itu, beliau meminta supaya pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial menyiasat perkara berkenaan kerana dikhuatiri berunsurkan jenayah.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/pemilik-bmw-keliru-plat-1.151396