Pengundi kerusi Parlimen Lembah Pantai (dari kiri) Murni Mohamed Onn, Dharmendran dan Azman Hasim menunjukkan jari dicalit dengan dakwat kekal, hari ini. -
GOMBAK - "Ramai yang berjumpa saya dan menunjukkan bukti dakwat ini tidak kekal."
Demikian dakwaan calon Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali ketika ditemui selepas membuang undi di SK Klang Gate di sini.
"Di semua pusat pembuangan undi, mereka terkejut, apabila cuci dengan air biasa pun dakwat ini hilang," ujar beliau.
"Ini akan mendedahkan kepada penipuan yang mungkin berlaku," tambah beliau lagi.
Menurut Azmin, beliau sudah mengarahkan petugas-petugas Pakatan Rakyat (PR) membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Azmin yang juga calon bagi kawasan Dun Bukit Antarabangsa turut melahirkan kekesalan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak prihatin terhadap pertambahan bilangan pengundi di kawasannya.
Jumlah saluran mengundi di pusat-pusat pembuangan undi yang disediakan tidak mampu menampung jumlah pemilih berdaftar, dakwa beliau.
"Jumlah pengundi di Gombak ini besar, tahun 2008 pengundi hanya 99 ribu, kali ini ada 123,000.
"Sewajarnya SPR telah mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan proses pengundian berjalan baik dan lancar," tegas beliau.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/azmin-dakwat-mudah-tanggal-dedah-kepada-penipuan-1.157189