Sudahlah dipaksa berkahwin di selatan Thailand, seorang wanita kini ibarat hidup dalam neraka apabila sering dipukul suaminya yang bimbang mangsa menceritakan tindakannya bernikah di negara jiran secara paksa, Januari lalu.
Malah, lelaki warga Nigeria berusia 30-an itu mengugut membunuh mangsa berusia 36 tahun jika enggan mengikutnya ke selatan Thailand untuk bernikah menyebabkan mangsa yang ketakutan akur arahan itu.
Bagaimanapun, sejak mereka hidup sebagai suami isteri dan tinggal di Batu Caves, dekat sini, mangsa sering dibelasah suaminya.
Mangsa akhirnya nekad membuat laporan polis di Balai Polis Selayang, Jumaat lalu.
Menurut sumber, mangsa berkawan dengan lelaki itu beberapa bulan tanpa mengesyaki dia berniat jahat.
“Bagaimanapun Januari lalu, mangsa diajak berkahwin menyebabkannya terkejut dan enggan. Berang mangsa menolak, lelaki terbabit mengugut mencederakannya jika menolak malah memaksa mangsa ke selatan Thailand untuk bernikah,” katanya.
Menurutnya, bimbang dengan ugutan itu, mangsa yang tiada pilihan akur dan dia dibawa ke negara jirannya itu sebelum mereka dinikahkan.
“Malah sejak perkahwinan itu, hidup mangsa dikawal lelaki terbabit yang bimbang mangsa melarikan diri dan membocorkan rahsia perkahwinan mereka kepada keluarganya.
“Sejak itu, mangsa sering dibelasah. Terbaru Jumaat lalu, mangsa dibelasah di kediaman mereka pada jam 10.30 malam,” katanya.
Menurutnya, bagaikan dirasuk syaitan, muka mangsa ditampar manakala badannya dipukul.
“Selepas membelasah mangsa, lelaki itu terus keluar meninggalkan mangsa kesakitan.
“Mangsa yang tidak tahan dengan tindakan suaminya itu kemudian membuat laporan polis,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan kejadian.
sumber:http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/DiseksasuamiwargaNigeria/Article/index_html