ISU cetak rompak bukanlah fenomena baru dalam industri perfileman tempatan. Bukan tiada tindakan ataupun serbuan yang dilakukan pihak berkuasa, namun 'perompak karya' ini tanpa rasa gundah seakan tegar melakukan perkara yang sama.
Malah, ada juga yang tidak serik mencuri karya orang lain dan menjualnya secara terang-terangan di pasaran dengan harga serendah RM5. Lebih memilukan, filem terbaru arahan Syamsul Yusof, KL Gangster 2, telah pun memenuhi pasaran gelap walaupun filem ini bakal ditayangkan pada 3 Oktober depan di pawagam.
Bermula dengan penyebaran di internet, filem yang menelan kos kira-kira RM4.5 juta itu kini berada di meja-meja pasar malam dan kedai-kedai cakera padat (CD). Pun begitu, tindakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dalam usaha menangani situasi ini wajar diberikan pujian.
Sepanjang minggu lalu, Operasi (Ops) Banteras yang dilancarkan Finas di beberapa lokasi di seluruh negeri berjaya merampas lebih 5,000 cakera video digital (DVD) rompak serta peralatan audio visual bernilai lebih RM40,000.
Pengarah Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Finas, Mohd Fazli Abdul Aziz berkata, pihaknya berjaya merampas 200 keping DVD cetak rompak, KL Gangster 2 di Pulau Pinang dan Johor.
Turut bersimpati dengan nasib malang yang menimpa syarikat produksi, Skop Production Sdn Bhd, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), tampil memberi sokongan. Selain dari itu, PFM juga turut memberi cadangan dan desakan kepada pihak yang berkenaan agar perkara yang sama tidak berulang lagi.