Mayat mangsa yang ditembak dalam sebuah bank di USJ 2, semalam dihantar ke hospital untuk bedah siasat.
< 1 / 1 >
SUBANG JAYA - Kejam! Hanya itu yang dapat digambarkan apabila seorang pengawal keselamatan tergamak menembak mati pekerja wanita sebuah bank di USJ Sentral 2 sebelum melarikan sejumlah wang dari peti besi bank berkenaan, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, mangsa bersama tiga pekerja bank wanita diiringi pengawal keselamatan terbabit untuk mengeluarkan wang daripada bilik kebal.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, suspek berusia 37 tahun itu melepaskan tembakan ketika dua pekerja wanita sedang membuka pintu peti besi berkenaan.
"Tembakan berkenaan mengenai wajah salah seorang pekerja, Norazita Abu Talib, 37, menyebabkan hampir separuh mukanya berkecai," katanya.
Menurutnya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek dipercayai bertindak sendirian.
Katanya, saksi mendakwa tiada sebarang percakapan antara suspek dan mangsa malah mangsa juga dikatakan tidak melawan.
Kejadian dilapor berlaku dalam tempoh seminit, suspek sempat mengaut sejumlah wang dan memasukkannya ke dalam beg sandang yang ada bersamanya.
"Suspek yang menggunakan senjata ‘pump-gun’ kemudian keluar melalui pintu depan bank dan melarikan diri dipercayai menaiki sebuah motosikal," katanya.
Abdul Rahim berkata, suspek yang berkhidmat dengan syarikat kawalan keselamatan itu sejak setahun lalu biasanya bertugas di bank bersebelahan, namun semalam menggantikan rakan setugas di bank terbabit.
"Polis dalam proses memastikan identiti suspek kerana kad pengenalan dirinya didapati tidak wujud dalam rekod.
“Rakaman CCTV premis bersebelahan juga akan dilihat semula untuk siasatan,” katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Justeru, polis meminta bantuan orang ramai mengesan suspek yang masih bebas bersama senjata api digunakan dalam kejadian itu.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/pekerja-bank-mati-ditembak-1.213774