Alor Setar: Tiga beradik ditemui mati di dua tempat berasingan pada petang semalam dan hari ini.
Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditemui mati di kawasan bendang padi di Alor Senibong, dekat sini, dipercayai dibunuh.
Mayat mangsa ditemui orang awam dalam keadaan tertiarap di lokasi kejadian kira-kira jam 3.45 petang semalam, sebelum ia dimaklumkan kepada polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya, ketika ditemui mengesahkan kejadian itu.
Berdasarkan maklumat, katanya mangsa keluar dari rumah bersama dua adik perempuannya berusia tiga dan 12 tahun pada malam 29 November lalu, sebelum mayatnya ditemui petang semalam.
"Buat masa sekarang polis masih menyiasat kes terbabit dan pihak kami menunggu laporan hasil bedah siasat dilakukan untuk mengetahui punca kematian.
"Kita akan mengambil kira semua aspek dalam siasatan," katanya.
Sementara itu, usaha mencari dua lagi adik mangsa yang masih hilang diteruskan dan polis turut menggunakan khidmat skuba serta anjing pengesan untuk mencari dan menyelamat di sekitar kawasan sungai berhampiran.
Dua adik mangsa itu kemudiannya disahkan maut selepas mayat mereka ditemui di sebatang sungai di Pekan Langgar, sebentar tadi.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Nashir Ya.
sumber:http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Remajaperempuan14tahunditemuimatidisawahpadidekatAlorSetar/Article/?bh