Kepala lori kontena yang ditemui semula di Bukit Kemuning, awal pagi semalam.
< 1 / 1 >
KLANG – Sebuah kontena membawa 15,000 pek lampin pakai buang bernilai kira-kira RM200,000 disamun dalam kejadian di lebuh raya PLUS Pulau Indah berhampiran Stesen Petronas Kota Pendamar 2, jam 1.20 petang, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam kejadian tersebut, mangsa yang juga pemandu lori kontena meletakkan lori di bahu jalan untuk ke tandas stesen minyak berkenaan sebelum didatangi empat individu tidak dikenali.
Difahamkan salah seorang daripada suspek berpura-pura bertanyakan arah jalan.
“Sejurus itu, tiba-tiba mangsa berusia 35 tahun itu diacu dengan sebilah pisau di bahagian pinggang sebelum dibawa masuk ke dalam kereta yang dipandu suspek.
“Mangsa dipukul dan dipijak sewaktu dalam kereta dengan keadaan muka yang diserkup dengan kain hingga hampir lemas,” katanya.
Beliau berkata, suspek yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Iswara dan motosikal Yamaha RXZ terus membawa mangsa hingga ke Pantai Kelanang, Banting dan ditinggalkan di situ.
Katanya, mangsa ditemui oleh orang awam sebelum dibawa ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut.
“Setakat ini kita masih menjejak kesemua suspek. Namun, kepala lori kontena berkenaan sudah ditemui semula di Bukit Kemuning kira-kira jam 2 pagi, semalam.
“Orang awam mempunyai maklumat atau individu yang menjual barang itu dengan harga lebih murah boleh maklumkan kepada mana-mana balai berdekatan,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/semasa/kontena-bawa-lampin-pakai-buang-disamun-1.270121