Mohd Amin menunjukkan baldi air yang disediakan pihak sekolah untuk kegunaan murid.
< 1 / 1 >
SHAH ALAM - Catuan air yang masuk fasa keempat menyukarkan warga Sekolah Rendah Seksyen 7 di sini kerana satu-satunya tangki air yang mereka ada tidak mencukupi, malah pihak sekolah terpaksa membeli tong air dan baldi bagi memudahkan murid menggunakan tandas.
Guru Besar, Mohd Amin Dahari berkata, sekolah tidak sepatutnya menjadi mangsa catuan air.
“Sekolah juga melahirkan produk iaitu murid-murid. Sama seperti kawasan perindustrian yang terkecuali dari terkena tempias catuan air ini.
“Catuan air ini sangat menyusahkan. Bayangkan betapa sukarnya murid seramai 1,410 mahu gunakan tandas,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, semalam.
Tambahnya, menjadikan sekolah sebagai mangsa catuan air adalah tidak relevan dan beliau meminta supaya ia dapat dihentikan segera.
“Walaupun kami ada tangki, ia hanya bertahan sehari saja. Catuan makan masa sampai dua hari, habis macamana nasib murid yang datang sekolah pada hari kedua catuan?
"Kami terpaksa keluar belanja bagi membeli dua tong air dan 28 baldi untuk diletakkan di lapan tandas sekolah ini,” katanya.
Menurutnya, catuan air ini turut menyumbang kepada masalah kebersihan tandas kerana kekurangan air untuk mencuci.
“Tukang cuci tak dapat nak basuh tandas kerana air tiada. Paling teruk ada juga kes murid tak sengaja terbuang air dalam seluar sebab tak tahan. Kita nak tolong pun tak boleh, terpaksalah panggil ibu bapa datang jemput anak mereka pulang," katanya.
Tambahnya, sekolah juga tidak boleh mengadakan program melibatkan ibu bapa kerana masalah catuan air.
“Pernah kita buat program baru-baru ini, tapi air tak ada. Kita terpaksa panggil Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) hantar air, tetapi hanya satu tangki saja. Mana cukup,” katanya.
Beliau juga berharap kerajaan negeri boleh mencari penyelesaian bagi menghentikan masalah catuan ini segera kerana ia bukan sahaja menyusahkan murid, malah semua warga kerja sekolah termasuk guru.
“Kami yang cikgu ni pun terpaksa lari ke masjid yang terdekat untuk buang air. Harap perkara ni cepatlah selesai,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/murid-tidak-patut-jadi-mangsa-1.271010