Khari (kanan) bersama ikan keli seberat 15 kilogram.
< 1 / 1 >
KAMPUNG MENJUAL – TUMPAT. Ikan keli seberat 15 kilogram (kg) yang berjaya ditangkap penduduk kampung ternyata mencuri perhatian ramai sempena Program Menimba Ikan di tali air Kampung Menjual di sini.
Program anjuran Komuniti 1Malaysia Chenderung Batu menghidupkan kembali aktiviti menangkap ikan secara tradisional yang semakin dilupakan oleh generasi muda kini.
Pengerusinya, Khari Awang Hamat berkata, seawal jam 7 pagi lagi penduduk sudah berkumpul untuk melakukan aktiviti itu.
“Dimulakan dengan mengeringkan tali air menggunakan pam air, selepas itu kira-kira 30 penduduk bergelumang dalam lumpur untuk menangkap ikan keli dan haruan.
“Ikan patin dan talapia juga berjaya ditangkap di dalam tali air ini,” katanya.
Menurutnya, ikan keli ‘gergasi’ itu mencuri tumpuan orang ramai kerana mereka tidak menyangka ikan sebesar itu wujud di tali air tersebut.
Khari berkata, sehari sebelum menimba ikan, diadakan pesta sukaneka rakyat 1Malaysia yang dimeriahkan dengan kehadiran 400 penduduk.
Menurutnya, lagi meriah apabila kanak-kanak turut terlibat sama dalam sukaneka itu yang melibatkan acara tiup belon, lari dalam guni, tarik tali dan bowling padang.
“Dengan kerjasama dan semua keluarga berkumpul menjayakan sukaneka ini, ia mampu mengeratkan silaturahim antara satu sama lain lebih-lebih lagi jiran tetangga di kampung ini,” katanya.
Turut diadakan solat hajat untuk MH370 dan penjelasan GST kepada penduduk kampung.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/ikan-keli-seberat-15-kg-curi-tumpuan-ramai-1.272955