Kiulu: Melihat belut hidup yang banyak dijual di pasar raya memang menggelikan. Namun, bagaimana pula jika melihat belut air tawar di Sungai Mangkaladom, di sini, yang kadang kala bersaiz gergasi sehingga boleh mencecah berat hampir 10 kilogram (kg).
Namun, belut air tawar sebesar betis orang dewasa atau lebih dikenali sebagai sinsilog bagi masyarakat tempatan, dianggap hidupan sungai yang sangat istimewa selain memiliki 1,001 khasiat.
Sekali pandang, bentuknya saling tak tumpah seperti ular sawa, tetapi ia ternyata tidak menggentarkan penduduk apabila sering menjadi buruan untuk dijadikan hidangan berkhasiat.
Sinsilog biasanya menghuni lubang batu di sepanjang sungai dan cara mengesan serta menangkap belut gergasi ini memerlukan pengalaman dan kemahiran khas kerana tubuhnya yang licin serta berlendir selain sifatnya agak agresif apabila diganggu.
Penduduk kampung biasanya menggunakan sejenis panah bermata tajam yang diikat dengan tali tangsi sebelum menyelam di celah batu di dasar sungai bagi memburu haiwan ini.
sumber:http://cerita2pelik.blogspot.com/2014/04/belut-gergasi-mencecah-berat-hampir-10.html