Beberapa murid sekolah beratur membeli makanan dan barang mainan daripada penjaja di luar kawasan sekolah
< 1 / 1 >
PORT DICKSON - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah kebangsaan di sini, melahirkan rasa kurang senang dengan tindakan beberapa individu yang berniaga di luar sekolah itu, sejak lapan tahun lalu.
Yang Dipertuanya, Muhamad Mohd Yusup mendakwa, ada beberapa peniaga bukan sahaja menjual makanan ringan tetapi turut menjual barang permainan mencecah RM13 satu.
"Ia pasti akan menarik perhatian kanak-kanak untuk membeli walaupun harganya mahal. Malah, kita juga turut menerima aduan daripada ibu bapa bahawa anak mereka mula mencuri duit gara-gara mahu membeli barang permainan itu," katanya.
Menurutnya, pihaknya sudah beberapa kali membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.
“Pihak sekolah tiada kuasa undang-undang untuk mengambil tindakan kepada penjaja terbabit kecuali memberi nasihat kepada murid-murid supaya tidak membeli makanan berkhasiat serta mainan tersebut," katanya.
Muhamad Mohd Yusop juga mendedahkan, ada segelintir guru turut mengambil kesempatan menjual makanan ringan kurang sihat kepada murid di dalam kawasan sekolah.
"Kita juga turut mendapat aduan di mana ada segelintir guru yang menjual makanan ringan di dalam sekolah, malah ada guru memberi kebenaran kepada peniaga jualan langsung berniaga di sekolah menyebabkan ada dalam kalangan murid terpaksa mengikat perut
semata-mata mahu membeli barangan itu.
"Oleh itu kita mahu satu tindakan diambil demi kebaikan murid-murid di sekolah ini," katanya.
Menurutnya, sebelum ini PIBG dan guru besar sekolah terbabit berbincang dan sepakat hanya Kelab Kebajikan Guru dan Kakitangan dibenarkan untuk berniaga di dalam sekolah dengan bersyarat.
“Kelab itu hanya dibenarkan berniaga pada hari kokurikulum iaitu setiap Rabu dengan hanya menjual seperti buah-buahan dan pada hari kelas tambahan saja.
“Malah, hasil perbincangan itu juga tidak membenarkan peniaga jualan langsung berniaga dalam sekolah itu tetapi malangnya aktiviti itu masih beroperasi," katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/curi-duit-beli-barang-mainan-1.276189