BUKIT MERTAJAM - Seorang pengasas sebuah pusat perubatan tradisional ditahan dalam serbuan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) di sebuah rumah teres yang dijadikan pusat perubatan itu di Permatang Pauh di sini.
Turut ditahan bersama lelaki berusia 46 tahun yang menggelarkan dirinya ustaz itu ialah dua wanita berusia 32 dan 40 tahun.
Ketua Unit Penguatkuasaan JHEAIPP Khairul Azman Azizan berkata pusat perubatan tradisional itu diserbu kerana didapati menjalankan rawatan bertentangan dengan hukum syarak.
"Serbuan pada 11.30 malam dengan kerjasama penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis itu adalah hasil maklumat awam dan risikan sejak enam bulan lepas," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata susulan serbuan itu, pihaknya turut menahan seorang lagi lelaki berusia 41 tahun yang merupakan pengurus bagi cawangan pusat perubatan berkenaan di Seberang Jaya, di sini, awal pagi ini.
Khairul Azman berkata siasatan awal mendapati pusat perubatan itu menyediakan rawatan untuk pelbagai penyakit berkaitan roh dan saka yang bertentangan dengan hukum syarak.
Pesakit yang ingin mendapatkan rawatan perlu membawa satu kilogram limau nipis, garam kasar dan lada hitam, katanya.
Beliau berkata pesakit tidak dikenakan bayaran sebaliknya perlu bersedekah atau memberi hadiah kepada 'ustaz' yang merawat pesakit.
Khairul Azman berkata dalam serbuan itu pihaknya merampas pelbagai peralatan dan kelengkapan yang digunakan untuk tujuan perubatan seperti cincin, minyak wangi termasuk beberapa buah buku untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata siasatan juga mendapati pusat rawatan tradisional itu turut menyediakan 'pengijazahan tenaga dalam dan perubatan' dengan bayaran 'fidyah' RM950 dan individu yang tidak berkemampuan masih berpeluang mendapatkan 'ijazah' itu dengan berpuasa selama 15 tahun tanpa henti walaupun pada hari-hari tasyrik (hari diharamkan berpuasa).
"Kami dapati syarat yang dikenakan bertentangan dengan ajaran Islam dan serbuan dibuat bagi mengelakkan lebih ramai terjebak dalam kegiatan ini.
"Lebih mengelirukan ustaz terbabit mengaku dirinya sebagai ketua para wali dan boleh menyeru roh Nabi Muhammad SAW serta para malaikat menerusi perantaraan," katanya.
Khairul Azman berkata pengasas pusat perubatan itu disiasat mengikut Seksyen 4, 6 dan 13 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 kerana mengamal dan menyebarkan doktrin palsu, menggelarkan diri sebagai wali serta memiliki bahan penerbitan agama yang bertentangan dengan hukum syarak.
"Seorang lagi lelaki dan dua wanita disiasat menurut Seksyen 43 enakmen sama atas tuduhan bersubahat. Siasatan lanjut masih dijalankan," katanya. - Bernama