[email][/email]
MATT Damon diangkat sebagai ‘sexiest man alive’ oleh majalah People, penghargaan dan anugerah yang pernah dirasai dua kali oleh dua rakan baiknya - George Clooney dan Brad Pitt.
Aktor yang berusia 37 tahun itu ditampilkan sebagai wajah kulit depan isu tahunan People, sejak Jumaat lalu.
Damon yang berkahwin dengan Luciana Bozan berkata, penghargaan itu adalah kejutan buatnya.
"Anda mengangkat lelaki suburban dan bapa yang semakin meningkat usia dengan anugerah yang menaikkan ego sebenarnya," katanya dalam surat yang dimuatkan dalam isu itu.
"Anak tiri saya yang kini berusia sembilan tahun menganggap saya cool dan kini bertambah cool," kata Damon yang mempunyai seorang anak, berusia setahun, Isabella. Anak itu hasil perkongsian dengan Bozan.
Sambil berseloroh, Damon berkata, akhirnya kempen yang dibuat Clooney dan Pitt berhasil juga.
"Malangnya, selepas bertahun-tahun berada di luar sana, bertemu dan bersosial, menjana kewangan untuk tujuan kebajikan, ucapan alu-aluan, saya mula menyedari hakikat bahawa anugerah ini memang tidak sesuai untuk saya pikul," demikian katanya dalam surat itu lagi.
"Jangan salah faham. Saya memang sangat terkejut, teruja dan gembira sebaik mendapat berita itu. Jadi saya sangat berterima kasih atas penghargaan ini," katanya.
Senarai 'sexiest man alive' dalam People bermula sejak 1985 menerusi kemenangan Mel Gibson. Gelaran itu pernah diberikan Clooney (1997 dan 2006), Pitt (1995 dan 2000), Denzel Washington (1996) dan Johnny Depp (2003).
Damon juga memenangi anugerah penulisan lakon layar Oscar bersama Ben Affleck pada 1998 untuk filem Good Will Hunting. Kedua-duanya membintangi filem itu.