andypeterh ELITE
Age : 44 location : Kota Kinabalu (Kepayan & Putatan) & Ranau Points : 12549 Reputation : 1 Number of posts : 4411
| Subject: Jawab, jangan tak jawab!.. 21/11/2007, 2:38 pm | |
| Jawab, jangan tak jawab!: 'Saya ibarat mentimun berdepan dengan durian'
Oleh Farihad Shalla Mahmud [url=mailto://][/url]
Izwan akui ada stesen penyiaran tidak minat undang buat persembahan program televisyen
TAHUN lalu, dia terheret dalam kancah yang dia sendiri tidak pernah menduga. Kes dia ditahan di sebuah kelab malam atas dakwaan terbabit dengan penyalahgunaan dadah sehingga terpaksa merengkok seketika di dalam lokap benar-benar memalukan dirinya. Walaupun didapati tidak bersalah, namun bagi penyanyi yang dilahirkan menerusi program Bintang RTM, Izwan Pilus, cukuplah sekali dia melalui pengalaman yang menyakitkan itu.
Dia tidak mahu lagi sebarang kontroversi menyekat laluannya untuk mencipta nama di persada seni tanah air. Namun, kita hanya merancang tetapi Tuhan yang menentukan. Hilang kisah ditahan timbul pula cerita imej penyanyi yang sedang popular dengan lagu Indah Lelapku ini menjadi bahan pertikaian. Penampilannya yang mengenakan mekap dan pakaian yang dihiasi pelbagai jenis kerongsang menyebabkan ramai yang menganggapnya sebagai lelaki lembut.
Kritikan itu walaupun mampu membunuh karier seninya namun bagi Izwan, dia lebih tahu apa yang dilakukan dan lebih penting dia mempunyai alasan tersendiri mengapa dia gemar berpenampilan sedemikian.
Belum reda isu imej, penyanyi yang berasal dari Negeri Sembilan ini sekali lagi diuji Tuhan. Heboh kononnya Izwan digam sebuah stesen penyiaran terkemuka. Buktinya, sehingga kini sukar untuk melihat wajahnya di stesen itu terutama dalam program nyanyian. Kalau adapun, itu di peringkat kemunculannya dan selepas itu, tiada tawaran yang diterima.
Bertemu pemuda berusia 28 tahun ini pada majlis sambutan ulang tahun penyanyi dan pengacara, Roslan Shah di Restoran Cerana, Cheras baru-baru ini memberi peluang kepada Hip merisik cerita sebenar yang terjadi. Biarpun tidak mendapat sebarang pengesahan dari stesen berkenaan sama ada dia digam atau sebaliknya, namun Izwan mengakui agak sukar untuk menembusi stesen televisyen itu. Dari apa yang didengar, kononnya pihak atasan stesen terbabit menganggap wajahnya begitu sinonim dengan stesen televisyen pesaing dan atas alasan itulah maka rezekinya bagaikan tertutup di stesen televisyen itu. Tapi, perkara itu sedikitpun tidak melemahkan jejaka ini. Tiada istilah merajuk untuk Izwan. Sebaliknya, dia masih menaruh harapan bahawa pintu stesen itu akan terbuka buatnya satu hari nanti. Dia akan terus bersabar menanti detik itu.
Hip: Ada khabar mengatakan Izwan digam sebuah stesen televisyen, benarkah begitu?
Izwan: (Tertawa) Bukan kena gam sebab saya pun tak dapat sebarang pengesahan hitam putih yang mengatakan saya digam stesen terbabit. Cuma saya akui, stesen berkenaan susah hendak panggil saya untuk menyerikan program terbitan mereka. Bukan tak panggil langsung, cuma program itu bukanlah program yang menonjolkan bakat saya dalam bidang nyanyian. Dulu, ketika di awal penyertaan saya dalam bidang seni, ada juga saya terbabit dengan persembahan anjuran mereka tapi kini tidak lagi. Masa Hari Raya baru-baru ini saya juga ada menawarkan diri untuk terbabit dalam program Hari Raya terbitan mereka tetapi tiada sebarang respon yang saya terima. Jadi saya anggap mereka memang tidak berminat.
Hip: Kenapa boleh jadi begitu? Izwan: Saya sendiri kurang pasti apa alasan mereka sehingga sukar untuk mereka mengundang saya menyertai program terbitan mereka. Tapi saya ada juga terdengar yang kononnya saya tidak diundang sebab wajah saya sinonim dengan stesen televisyen pesaing. Kalau benarlah itu alasannya, saya anggap itu tidak adil buat saya. Sebagai artis, saya hanya melakukan tugas saya. Dan andai mereka melihat saya kerap muncul di stesen terbabit, itu sudah rezeki saya dan kebetulan stesen itulah yang kerap mengundang saya menjayakan majlis mereka. Jadi salahkah saya menerima tawaran itu. Malah bagi membuktikan saya tidak pilih kasih, saya pernah menghadiri uji bakat untuk menjadi pengacara di stesen terbabit malangnya tidak berjaya. Sebenarnya saya tidak mahulah menuduh mereka sengaja menggam saya. Mungkin mereka terlepas pandang. Tetapi jika benar mereka mengamalkan sikap favouritism, saya berharap sangat supaya mereka berfikirlah secara terbuka. Pandanglah bakat saya sebagai anak seni. Dan sebagai anak seni, saya perlukan sokongan mereka untuk membantu memperluaskan kerjaya seni saya.
Hip: Rasa terkilan tak dengan apa yang berlaku?
Izwan: Bohonglah kalau saya kata tak terkilan. Memang terkilan sangat tapi untuk pengetahuan semua, ini bukan kali pertama saya diperlakukan sedemikian. Masa mula album saya dikeluarkan, lagu saya pernah tidak dimainkan di sebuah stesen radio. Alasan mereka ketika itu saya bergelar juruhebah di sebuah stesen radio lain. Lepas saya berhenti, barulah mereka putarkan lagu saya. Apabila ini berlaku, saya terfikir juga kenapa perlu ada birokrasi seperti ini. Walhal kalau kita tengok, stesen yang dikatakan sinonim dengan saya itu turut memberi peluang kepada artis realiti yang dilahirkan stesen lain membuat persembahan di situ tanpa ada sebarang rasa prejudis. Jadi mengapa perlu ada sekatan seperti ini. Jadi saya harap peluang saya untuk muncul di stesen televisyen berkenaan tidak ditutup terus. Saya akan terus menanti.
Hip: Mungkin Izwan pernah mempunyai masalah dengan stesen terbabit sehingga mereka memperlakukan Izwan sedemikian rupa?
Izwan: Setakat ini saya rasa saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan mereka. Tapi jika benar saya mempunyai masalah dengan mereka, saya minta maaf. Cuma pernah berlaku, saya menolak tawaran untuk terbabit dalam program terbitan mereka. Tapi itu bukan disengajakan kerana pada masa itu masa tawaran yang mereka berikan begitu singkat. Saya tidak mahu buat kerja asal boleh. Jadi kalau boleh saya mahu mereka pertimbangkan apa yang saya luahkan ini. Saya tidak berniat untuk mencari masalah dengan mereka cuma saya harap diberi peluang sama seperti artis lain untuk mengembangkan bakat di situ.
Hip: Bagaimana dengan peranan syarikat rakaman? Mereka tidak membantu?
Izwan: Saya rasa mereka sudah pun memainkan peranan mereka. Berusaha gigih untuk mempromosikan saya di stesen penyiaran terbabit. Tetapi itulah seperti yang saya katakan sebentar tadi, semuanya bergantung kepada mereka. Lagipun, saya sendiri tidak tahu status sebenar sama ada benar saya digam atau tidak. Apapun, saya hanya tunggu tindakan selanjutnya. Nak bertindak lebih-lebih pun, saya ini ibarat mentimun yang berdepan dengan durian (sambil tersenyum)
Hip: Ada orang kata Izwan anak emas RTM, betulkah?
Izwan: Itu memang tidak betul. Saya sendiri hairan macam mana boleh timbul isu saya anak emas RTM. Saya akui saya memang banyak membuat job di RTM tetapi tidaklah sampai nak bolot semuanya. Kalau hendak diikutkan, ada ramai lagi artis luar yang diberi peluang untuk mengendalikan program terbitan stesen milik kerajaan itu tetapi mengapa nama saya yang naik. Sebagai artis, apa saja tawaran yang datang, saya sifatkan ia sebagai rezeki dan tidak seharusnya ditolak kecuali kalau saya terbabit dengan komitmen lain yang sudah pun dipersetujui awal.
Hip: Ada orang mempertikaikan imej Izwan. Kata mereka imej Izwan macam ‘adik-adik’ apabila sering tampil bermekap dan mengenakan pelbagai jenis kerongsang di pakaian. Komen sikit.
Izwan: Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk memperbetulkan salah tanggapan itu. Memang ramai yang mempertikaikan imej saya dengan mengatakan nampak seperti lelaki lembut dan seumpama dengannya. Apa maksud mereka? Apakah dengan melihat saya memakai mekap lalu lekas membuat tuduhan dengan mengatakan saya lelaki lembut. Sebenarnya imej yang ingin saya tonjolkan di sini sebenarnya adalah berkonsepkan metroseksual yang bermaksud lelaki yang begitu mengambil berat soal kebersihan dan penampilan diri. Dan saya akui saya seorang metroseksual. Salahkah kalau saya menjaga kebersihan diri kerana itu juga dituntut agama. Tapi saya faham, apabila menyebut metroseksual, mereka menyangkakan homoseksual, sebenarnya tidak. Ia adalah dua perkara yang berbeza. Mengenai mekap, sebagai artis, tentunya kita mahu wajah kita kelihatan sempurna, jadi dengan memakai bedak padat, sekurang-kurangnya dapat juga lindung kawasan yang tidak sepatutnya dilihat (tertawa). Tambahan pula, kulit muka saya memang bermasalah, jadi itu yang nak kena lindung. Lagipun, memakai bedak padat sekarang adalah perkara biasa. Saya berani jamin kebanyakan artis lelaki yang datang pada majlis ini malam ini, kalau anda kesat dengan tisu wajah mereka, pasti akan terlihat kesan bedak. Begitu juga dengan pemakaian kerongsang, saya tak anggap itu bersifat feminin. Sebagai artis, tak salah kita mencipta imej yang agak pelik dan lain dari yang lain sebagai trademark.
Hip: Jadi Izwan selesa dengan imej seperti ini?
Izwan: Sudah semestinya. Walaupun ibu saya sebelum ini terkejut apabila saya memilih imej metroseksual kerana menyangkakan ia adalah homoseksual, tapi kini dia sudah boleh terima. Begitu juga dengan peminat, walaupun pada permulaan mereka seperti sangsi, tapi kini mereka juga sudah boleh terima. Malah, jika mereka terserempak dengan saya dalam keadaan tidak seperti selalu, mereka sendiri akan tertanya-tanya mengapa saya tidak tampil dengan imej biasa. Apapun, pada saya apapun penampilan seseorang artis itu kita kena terima kerana pada saya, yang penting dan menjadi ukuran adalah bakat artis itu sendiri. |
|