[url=mailto://][/url]
LONDON: Mendiang Puteri Diana dikatakan mempunyai sekurang-kurangnya lima kekasih, termasuk bekas Kapten ragbi England, Will Carling dan pengawal peribadinya yang juga anggota polis, Barry Mannakee.
Lelaki lain termasuk bekas pegawai tentera, James Hewitt; James Gilbey dan pengedar hasil seni, Oliver Hoare.
Selain itu, Diana, bekas isteri Putera Charles juga dikaitkan dengan pakar bedah keturunan Pakistan, Dr Hasnat Khan dan hartawan Arab, Dodi al-Fayed yang maut bersamanya dalam nahas jalan raya di Paris pada 1997.
Media tempatan melaporkan, senarai lima kekasih Diana yang semuanya berkulit putih itu didedahkan pada perbicaraan atau inkues ketika bekas Setiausaha Peribadi Diana, Michael Gibbins, disoal berhubung rasa tidak senang keluarga diraja mengenai kehidupan peribadi puteri berkenaan.
Bagaimanapun, hanya Hewitt membuat pengakuan terbuka menjalin hubungan dengan Diana.
Michael Mansfield, peguam yang mewakili bapa Dodi, Mohammed al-Fayed, adalah orang yang bertanggungjawab mendedahkan senarai kekasih Diana berkenaan.
Antara lain, beliau menyoal jika Gibbins mengetahui menjelang Jun 1997, wujudnya rasa tidak senang kerabat diraja yang tidak bersetuju dengan hubungan cinta dijalinkan Diana sebelum ini.
Gibbins bertanya siapa yang dirujuk Mansfield, peguam jutawan Mesir itu membacakan senarai itu.
Berbanding yang lain, Hewitt yang dikatakan menjalin hubungan dengan Diana pada 1986 - 1990, turut mendapat keuntungan besar apabila mendedahkan butiran kisah cinta mereka menerusi buku.
Carling, sebaliknya mula menyukai Diana selepas pertemuan di sebuah gimnasium pada 1995. Beliau bagaimanapun sentiasa menegaskan yang mereka lebih kepada teman rapat berbanding pasangan kekasih.
Gilbey, seorang eksekutif syarikat kereta Lotus, dan perbualannya dengan Diana sempat dirakam dan didedahkan, tidak pernah mengakui menjalin hubungan cinta.
Begitu juga Hoare yang disyaki menjadi teman lelaki Diana selama empat tahun sejak 1990.
Mannakee pula maut dalam nahas motosikal pada 1987, setahun selepas perhubungan mereka berakhir dan sedekad kemudian dihebahkan.
Inkues menjadi tumpuan kerana mengetengahkan isu termasuk kemungkinan wujudnya teori konspirasi dalam pembunuhan Diana seperti didakwa Mohammed, awal minggu ini membangkitkan kemungkinan puteri Britain itu terselamat dalam kemalangan kereta 10 tahun lalu jika pasukan perubatan Perancis tidak membazirkan minit-minit penting merawatnya di tempat kejadian.
Ini dinyatakan pakar bedah terkemuka Britain, Profesor Thomas Treasure yang mendakwa pasukan perubatan Perancis sebaliknya memilih untuk merawat Diana dalam kenderaan selama 40 minit sebelum memutuskan beliau sudah cukup stabil untuk ke hospital. - Agensi