[url=mailto://][/url]
LOS ANGELES: Penyanyi bermasalah, Britney Spears, terus mencetuskan kontroversi apabila dituduh mencuri rambut palsu beberapa jam selepas menanggalkan seluarnya untuk mencuba sepasang seluar dalam di sebuah kedai.
Bintang pop itu didakwa meragut rambut palsu yang dipakaikan pada patung dan meninggalkan kedai itu tanpa membayar selepas bertengkar dengan seorang kakitangan kedai berkenaan.
Kejadian berlaku di sebuah kedai dewasa sejurus sebelum jam 1 pagi waktu tempatan 18 November lalu, lapor majalah Us Weekly.
Ia juga menyebut ketika berada di dalam kedai itu, Spears, 25, memilih beberapa seluar dalam seksi dan menuju ke arah bilik persalinan.
Dia, bagaimanapun tidak berpuas hati selepas diberitahu pekerja yang dia tidak boleh mencubanya.
Sumber di kedai itu memberitahu majalah berkenaan: "Mereka memberitahunya mereka tidak membenarkan pelanggan mencuba seluar dalam dan dia amat kecewa."
Pada satu ketika tingkah laku penyanyi itu semakin teruk apabila dengan selamba menanggalkan seluar dalamnya, di tengah-tengah kedai - sebelum mencuba sepasang seluar dalam baru.
Kira-kira 15 pelanggan lain terkejut melihat kelakuan ibu kepada dua anak lelaki itu.
Seorang saksi memberitahu Us Weekly: "Pekerja kedai itu berkata, 'Jangan tukar di sini!' Dia menjawab, 'Habis, saya tidak boleh membawanya ke bilik persalinan.' Ia seperti berurusan dengan budak kecil."
"Kakitangan kedai memberitahu dia perlu membayar, dan dia menjegilkan matanya tetapi membayar dengan kad kredit," kata sumber.
Namun dalam perjalanan keluar, dia didakwa menuju ke arah patung, merampas rambut palsu dan mencurinya.
Sementara itu, Spears dan bekas teman lelakinya, JR Rotem, menafikan laporan penyanyi itu hamil anak ketiganya. - Agensi