[url=mailto://][/url]
KUALA LUMPUR: Pelakon wanita popular, Jasmin Hamid menarik balik permohonan cerai yang difailkan terhadap suaminya, Ian Rashid Macquistan di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.
Jasmin atau nama sebenarnya Jasmiah Abd Hamid, 33, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai keputusannya untuk menarik balik permohonan itu terhadap suami yang dinikahinya pada 15 Januari 2000.
Penarikan balik permohonan perceraian itu dilakukan peguam Zulkifli B C Yong selepas kes anak guamnya yang sebelum ini dipanggil untuk sebutan semula dirujuk mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984.
Berdasarkan kepada persetujuan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984, apabila permohonan dibuat satu pihak, ia mengkehendaki satu pihak yang lain memberi persetujuan.
Bagaimanapun sebaliknya, kalau satu pihak tidak bersetuju mahkamah akan melantik jawatankuasa pendamai dan jika gagal mahkamah melantik dua hakam sebagai jalan terakhir dengan masing-masing mewakili setiap pihak.
Sebelum ini, Hakim Syarie Abdul Shukor Abd Hamid menetapkan semalam untuk mendengar permohonan perceraian pelakon itu, bagaimanapun tidak menjadi apabila kedua-dua pihak menyelesaikan masalah dihadapi secara baik di luar mahkamah.
Ketika dihubungi, Jasmin berkata, beliau dan suaminya sudah berbaik semula dan keputusan itu dibuat atas beberapa faktor peribadi.
"Tidak ada apa yang hendak dikatakan, cuma saya sudah berbaik semula dengan suami. Keputusan berbaik semula dibuat atas faktor peribadi dan tidak lebih daripada itu," katanya di sini, semalam.
Pelakon yang pernah mengungguli trofi Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 1996 (drama Jutawan Segera) itu memfailkan perceraian terhadap suaminya di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 14 November lalu.
Jasmin yang terkenal dengan watak penggoda dan antagonis dalam lakonannya melangsungkan perkahwinan dengan Ian Rashid pada 15 Januari 2000 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Ian Haziq, 6.
Beliau yang kini terbabit dalam penggambaran tiga drama baru iaitu Dilema Wanita, Diari Datin dan drama bersiri Keluarga Bong turut mempunyai dua lagi anak angkat dipelihara ibunya, Rohana, 21 dan Lokman Hakim, 12.