LOS ANGELES: Pelakon Nicole Kidman disahkan hamil dan dia bersama suaminya
penyanyi Keith Urban dilaporkan amat teruja menantikan kelahiran bayi pertama
mereka.
Agen publisiti pelakon itu di Amerika, Catherine Olim dalam
kenyataan ringkas berkata Kidman kini berada di rumahnya di Sydney, Australia
dan sedang menjalani penggambaran epik cinta terbitan Baz Luhrmann, berjudul
Australia.
Kidman sepatutnya menjalani penggambaran filem arahan Stephen
Daldry mengenai kisah selepas Perang Dunia Kedua berjudul The Reader akhir bulan
ini tetapi ejen publisiti pelakon itu di Australia Wendy Day berkata beliau
memahami bahawa Kidman terpaksa menarik diri daripada penggambaran filem
berkenaan berikutan kehamilannya.
Spekulasi dikatakan semakin meluas sejak akhir-akhir ini mengenai berita
kehamilan Kidman manakala jurugambar paparazzi sentiasa mengekorinya untuk
mengetahui perkembangan terbaru pelakon itu.
“Saya sudah mendengar
spekulasi seperti ini sejak bertahun lamanya tetapi ia tidak pernah betul, jadi
saya fikir kali ini pun ia mungkin bohong juga. Bagaimanapun Kidman menelefon
saya pagi ini dan mengesahkan perkara itu,” katanya.
Siaran televisyen
Australia semalam menyiarkan rakaman wartawan mengucapkan tahniah kepada
pasangan berkenaan yang berkata mereka amat teruja tetapi enggan memberitahu
bila bayinya akan dilahirkan.
Ketika ditanya sama ada bayi berkenaan lelaki atau perempuan, Urban berkata
jantina bayi itu masih dirahsiakan.
Kidman sebelum ini mempunyai dua
orang anak angkat Isabella, 14 dan Connor, 12 dengan bekas suaminya Tom Cruise.
Kidman sebelum ini pernah mengaku kepada majalah Vanity Fair bahawa dia
mengalami keguguran ketika masih menjadi isteri Cruise dan kejadian itu
mendorong dia mengambil anak angkat. - AP