|
SUDUT santai... Di sinilah Aznil menghabiskan masa menonton televisyen. <hr noShade SIZE=1> |
SUDAH menjadi lumrah manusia hanya melihat apa yang tersurat tetapi tidak pernah mengkaji apa sebenarnya yang tersirat di sebalik kata-kata atau apa jua kejadian yang menimpa.
Begitulah yang terjadi ketika Aznil Nawawi, 45, mengumumkan penarikan dirinya daripada menjadi pengacara Akademi Fantasia 5 (AF5) pada konsert minggu kelapan program itu pada Julai tahun lalu. Ramai yang membuat telahan disitulah berakhirnya karier dan hubungan baik Aznil dengan Astro!
Tetapi sebenarnya apa yang tersurat tidak sama dengan apa yang tersirat! Walaupun Aznil mengumumkan pengundurannya daripada program TV realiti paling popular itu tetapi dia masih tetap setia dengan Astro dan stesen TV itu juga masih tetap memerlukannya.
Buktinya, tanpa sebarang sidang akhbar Aznil yang tamat kontraknya dengan Astro untuk tiga tahun pertama sebagai Perunding Kreatif Astro pada awal Oktober lalu kini menyambung semula kontraknya untuk tempuh 10 tahun lagi.
“Syukur alhamdulillah, saya tidak pernah menduga akan ditawarkan untuk tempoh yang panjang. Bukanlah mahu mendabik dada tetapi itu tandanya pihak Astro puas hati dan yakin dengan tugas dan tanggungjawab yang diberikan kepada saya,” kata Aznil ketika ditemui di rumah teres tiga tingkat miliknya, di Taman Espaland, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut pengacara popular ini, dia tidak pernah menduga dunia gemilangnya akan berterusan di stesen televisyen.
“Apabila saya meninggalkan TV3 dan menceburi bidang penerbitan dengan syarikat produksi saya Kira Bagus Sdn. Bhd., saya bayangkan saya akan bekerja dengan mana-mana syarikat yang sesuai dengan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi yang saya miliki.
“Tetapi saya ditawarkan bekerja di RTM sebagai hos rancangan muzikal Getaran selama tiga tahun mulai 1998. Jika TV3 ‘universiti’ yang membimbing saya dalam bidang penyiaran, RTM pula adalah ‘universiti’ yang mengajar saya bercakap bahasa Melayu dengan betul, atur ayat dengan cantik dan bersopan santun ketika bersiaran.
“Sejak muncul dalam rancangan itu, karakter saya memang berubah. Tidak gila-gila dan lepas laku seperti mana yang saya buat dalam Pop Kuiz,” akui Aznil tanpa segan silu.
Bagaimanapun, kata Aznil, setelah kontraknya tamat dengan program itu, dia meneruskan kerjayanya sebagai pengacara dan akhirnya ayah kepada dua orang anak - Fildza Haifa, 18, dan Fariq Haizen, 13, ini menjadi keluarga Astro.
Bermula sebagai pengacara AF1, akhirnya Aznil menjadi Perunding Kreatif Astro sejak Oktober 2003.
“Astro menyerahkan daya kreativiti saya untuk menerbitkan sebuah program yang disertai oleh semua kaum di negara ini dan fokusnya adalah golongan dewasa.
“Sebenarnya buat masa ini sudah ada beberapa idea untuk program yang akan diterbitkan pada Jun tahun depan. Apa yang penting program itu bukan sahaja akan menarik dan menghiburkan golongan dewasa malah yang lebih penting ia menerapkan nilai-nilai murni dan budaya semua kaum.
“Di samping program untuk orang dewasa, saya juga akan mengadakan kelas melatih pengacara-pengacara baru Astro untuk membimbing mereka ke arah menjadi pengacara yang boleh dibanggakan dan berilmu,” kata Aznil yang merupakan Duta Kanak-Kanak Astro.
Menurut Aznil, di samping program tersebut beliau masih meneruskan program khas untuk kanak-kanak iaitu Tom Tom Bak.
“Setelah 16 tahun menjadi pengacara dan beri peluang mengendalikan segmen Bersama Anak-Anakku dalam Macam-Macam Aznil, barulah saya sedar rupanya banyak benda yang saya belajar daripada mereka.
“Kalau kita menemu ramah artis mereka sering memberi jawapan yang selamat yang mana kadangkala begitu klise. Tapi kanak-kanak, jawapan mereka jujur dan ikhlas dan mereka membuatkan saya lebih banyak berfikir tentang apa juga lontaran jawapan terhadap setiap persoalan yang saya kemukakan kepada mereka,” kata Aznil.
Mengimbas kejayaannya sebagai pengacara, kata Aznil;
“Bukan mudah untuk menempah nama sebagai pengacara yang berkaliber. Sebabnya sekarang ramai pengacara yang pasang siap seperti penyanyi dan pelakon.
“Pengacara yang bagus harus peka, berilmu dan belajar daripada kesilapan lalu. Sebabnya pengacara bukan burung kakak tua yang hanya tahu menghafal skrip tetapi tidak tahu apa maknanya.”
Belum ada jodoh
Bercakap tentang jodoh, Aznil yang telah menduda sejak 11 tahun, tidak berselindung ketika ditanya soal pasangan hidupnya.
“Bohonglah kalau saya kata, hidup saya tidak sunyi tanpa seorang perempuan bernama isteri selama 11 tahun ini. Tetapi bagi saya apa juga yang terjadi dalam hidup ini ditentukan oleh Allah.
“Sebenarnya saya pernah berkenalan dengan beberapa orang wanita tetapi sayangnya kebanyakan yang saya jumpa menerima saya sebagai ‘Aznil Nawawi Pengacara Popular’ dan bukan sebagai insan yang bernama Aznil Nawawi.
“Sebab itulah, akhirnya hubungan saya tidak menjadi dan rasanya saya semakin selesa hidup sendirian. Tetapi jika sudah sampai jodoh, saya akan kahwin juga.”