PARIS HILTON dilaporkan menjalinkan hubungan dengan bekas suami Britney Spears, Kevin Federline. Paris dan Britney sebelum ini merupakan rakan karib.
Laporan menyebut, Paris dilihat sedang berbual mesra dengan Federline di Kelab LAX, Las Vegas pada Sabtu lepas.
“Kevin dan Paris sedang bersuka ria. Kevin berulang kali menjerit nama Paris sambil mencium pipinya dan kemudian, membisik sesuatu kepada Paris,” kata sebuah sumber kepada Contactmusic.
Laporan itu juga menyebut Britney berang setelah melihat gambar Paris dan Kevin yang sedang bermesraan itu.
Menurut sumber itu lagi, ini bukan kali pertama Britney merasa dirinya dikhianati. Ini kerana sebelum ini, seorang lagi rakan karibnya, aktres remaja bermasalah Lindsay Lohan menjalinkan hubungan dengan penerbit muzik, J.R. Rotem yang juga merupakan bekas teman lelaki Britney.
Sumber lain pula memberitahu laman web TMZ.com, Federline telah mencuba sedaya upaya untuk berbaik semula dengan Britney tetapi tidak berhasil.
Dalam pada itu, peguam Federline, Mark Vincent Kaplan menafikan anak guamnya itu mahu kembali berdamai dengan Britney.
Dia sebaliknya berkata, mereka akan berusaha mengalahkan Britney dalam tuntutan hak penjagaan dua anak mereka, Sean Preston dan Jayden James di mahkamah pada awal tahun ini.
“Britney Spears akan dikalahkan kami dan banyak perkara yang perlu dibincangkan. Kevin tidak lagi berminat kepadanya, sama juga seperti saya,” tegas Kaplan.
Pada Disember lepas, Britney tidak menghadirkan diri ke mahkamah bagi perbicaraan kes tersebut atas alasan dia demam.