Fahami
kod menukar tayar baru
APABILA cengkaman tayar kenderaan mula berkurangan atau botak, itu menandakan
sudah tiba masanya pemilik menukarnya dengan yang baru.
Bagaimanapun, sebelum menukar yang baru ada beberapa faktor yang perlu
diberikan perhatian pemilik supaya tayar baru dibeli bersesuaian dengan
kenderaan dan bukan sudah luput tarikh atau lama disimpan penjual.
Sebagai pemilik kenderaan dan pengguna anda perlu mengetahui beberapa kod
penting terdapat pada bahagian sisi tayar sebagai rujukan.
Ia untuk memastikan anda membeli tayar berkualiti dan tahan lama. Setiap tayar
mempunyai maklumat terperinci berhubung jenis, saiz, keupayaan, minggu dan
tahun keluarannya.
Sesiapa saja boleh memahami maklumat ini untuk membuat pilihan tayar yang
sesuai dan selamat bagi kenderaan masing-masing. Cara paling mudah dengan
memilih satu contoh tayar dan menelitinya sedikit demi sedikit.
Ikuti makna nombor penting bagi sesebuah tayar:
- Untuk mengetahui usianya sila periksa bahagian tepi tayar yang terdapat kod
nombor minggu dan tahun. Contohnya kod 2206 bermaksud tayar berkenaan
dihasilkan di kilang pada minggu ke 22 pada 2006.
Kebanyakan pengeluar mengesyorkan jangka hayatnya ialah selama lima tahun dan
jika lebih bermakna sudah luput tarikh dan dinasihatkan tidak gunakan pada
kenderaan.
- Pengguna juga perlu memahami nombor berikut yang terdapat di bahagian sisi
tayar contohnya - 175/70R13 82H.
Nombor 175 yang pertama dalam siri merujuk kepada lebar tayar itu dalam
milimeter, iaitu jarak diukur dari sisi ke sisi. Biasanya, jika lebih besar
nilai angka ini lebih lebar tayar itu.
Nombor 70 ialah nisbah aspek (aspect ratio) tayar atau ketinggian tayar
berbanding lebarnya. Maksudnya ketinggian tayar adalah 70 peratus kelebaran
tayar itu. Biasanya tayar dengan nisbah aspek 55 ke bawah diklasifikasi sebagai
tayar profil rendah.
Tayar profil rendah memberi prestasi pengendalian keseluruhan lebih bagus
walaupun aspek keselesaan mungkin terjejas sedikit.
Huruf "R" merujuk kepada binaan tayar radial dan ke semua tayar
kereta menggunakan binaan radial sejak 20 tahun lalu.
Tayar binaan radial tidak mempunyai tiub dan memberi prestasi lebih bagus.
Angka 13 merujuk kepada garis pusat (diameter) rim untuk membolehkan tayar
dimuatkan. Jika ingin menukar kepada tayar diameter lebih besar anda perlu
menukar rim kepada diameter yang sama.
Nombor 82 melambangkan indeks keupayaan mengangkut berat tayar itu. Untuk
mengetahui berat maksimum berlambangkan nombor "82" kami perlu
merujuk kepada carta "Indeks Keupayaan Mengangkut Berat Tayar" yang
ditetapkan di peringkat antarabangsa.
Sebagai contoh, nombor 82 bermakna tayar mampu memikul berat maksimum 475kg.
Berat maksimum merujuk kepada setiap tayar, kita perlu mendarabkan empat kali
untuk memperolehi kapasiti memikul berat kenderaan dengan empat tayar. (Contoh:
475 x 4 = 1,900kg)
Huruf H terakhir menyatakan kelajuan maksimum sesebuah tayar yang direka.
Taraf kelajuan "H" dalam contoh, bermakna bahawa tayar ini boleh
mencapai dan mengekalkan kelajuan sejauh 210 km/j.
Di bawah adalah senarai carta kelajuan maksimum seperti yang dilambang oleh
setiap huruf abjad.
- S - 180 km/j
- T - 190 km/j
- U - 200 km/j
- H - 210 km/j
- V - 240 km/j
- Z - melebihi had laju 240 km/j
- W - 270 km/j
- Y - 300 km/j
Untuk tayar yang mempunyai keupayaan mengatasi kelajuan 270 ksj, huruf ZR akan
digunakan.
p/s sampaikan walau sepotong ayat.