Heath Ledger maut terlebih dos ubat tidur
NEW YORK 23 Jan. – Aktor berbakat besar kelahiran Australia, Heath Ledger ditemui mati oleh pembantu rumahnya di pangsapuri milik pelakon itu petang semalam.
Ledger yang pernah mendapat pencalonan Anugerah Academy kerana lakonannya sebagai koboi homoseksual menerusi filem Brokeback Mountain, dipercayai mati kerana terlebih dos ubat tidur.
Jurucakap polis, Paul Browne berkata, mayat aktor itu ditemui sekitar 3.30 petang semalam (3.30 pagi ini waktu Malaysia).
Beliau berkata, siasatan awal menunjukkan aktor berkenaan mati bukan sebab membunuh diri walaupun pihak polis menemui pil-pil ubat tidur berhampiran katilnya.
Pegawai publisiti Ledger, Mara Buxbaum berkata, pihaknya terkejut dan sedih dengan berita tersebut.
“Inilah saat paling menyedihkan buat keluarganya dan kami meminta pihak media menghormati mereka dan tidak membuat sebarang spekulasi sehingga fakta sebenar diketahui,’’ kata Buxbaum dalam satu kenyataan.
Ledger meninggalkan seorang anak, Matila, 2, hasil perkahwinan dengan bekas isterinya, Michelle Williams, yang turut berlakon sebagai isterinya dalam Brokeback Mountain.
Antara filem lakonan beliau ialah 10 Things I Hate About You, A Knight’s Tale, Monster’s Ball, Casanova dan The Patriot.
Sementara itu, di Perth, Australia, bapa Ledger, Kim, menyifatkan kematian anaknya itu sebagai “satu tragedi dan kemalangan yang tidak diduga.”
“Dia seorang pemurah, baik hati dan sering menjadi inspirasi kepada ramai orang,” kata Kim.
– Reuters