Piala FA: Kelab EPL mula diancam ‘kepupusan’
[url=mailto://][/url]LONDON: Di sebalik segala tanggapan betapa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) jauh lebih handal berbanding lawan daripada bahagian lebih bawah, hanya tiga kelab elit England mungkin masih bersaing dalam Piala FA selepas aksi pusingan keempat, hujung minggu ini.
Dengan sembilan daripada 20 kelab Liga Perdana sudah tersingkir di pusingan ketiga, awal bulan ini, pentas kini tersedia untuk kelab bawahan mencipta beberapa kejutan.
Hanya tiga kelab utama dijamin akan meneruskan kemaraan apabila mereka diundi saling bertemu lawan daripada EPL.
Arsenal bertemu Newcastle United di Stadium Emirates, Wigan Athletic menanti juara bertahan, Chelsea sementara satu lagi wakil Liga Perdana pada saingan 16 pasukan terakhir nanti bakal ditentukan di antara juara 11 kali, Manchester United ataupun Tottenham Hotspur.
Lima lagi kelab liga elit akan menentang lawan bawahan biarpun Havant & Waterlooville, daripada liga berstatus bahagian enam bola sepak Inggeris, perlu menghasilkan kejutan terbesar dalam sejarah kejohanan jika mahu menundukkan Liverpool di Anfield.
Chelsea akan ke Wigan, tempat mereka melakar kemenangan 2-0 musim ini, dibuai keyakinan selepas menang perlawanan ketujuh berturut-turut - hasil kejayaan 1-0 ke atas Everton pada separuh akhir Piala Liga, kelmarin, untuk layak ke final bertemu Spurs.
Manchester United, diatasi Chelsea di final tahun lalu, mungkin terlalu handal buat Spurs di Old Trafford biarpun anak buah Juande Ramos masih dibuai gembira hasil kejayaan 5-1 ke atas Arsenal buat layak ke final Piala Liga, bulan depan.
Arsenal pastinya berazam bangkit daripada kekalahan memalukan di White Hart Lane itu dan mampu menjadikan Newcastle - kelab kini di bawah pengurus baru, Kevin Keegan yang seri 0-0 dalam aksi pertama kendaliannya menentang Bolton - sebagai mangsa mereka.
Liverpool juga tampak sukar dikejutkan apabila menentang Havant & Waterlooville, barisan yang menewaskan pendahulu bahagian tiga, Swansea City di pusingan sebelumnya. - Reuters