Sang juara yang tewas
ACARA Anugerah Juara Lagu Ke-22 (AJL22) yang berlangsung kelmarin menyaksikan persaingan hebat antara muka lama dan baru.
Menariknya juga, empat bekas pemenang Juara Lagu sebelum ini turut bersaing bagi merebut anugerah yang dipertandingkan iaitu Ramlah Ram yang pernah menjuarai AJL pada tahun 1988, Aishah (1990 dan 1995), Datuk Siti Nurhaliza (1996, 1998 dan 2000) dan Misha Omar (2003).
Namun begitu, mungkin sudah tertulis bahawa bukan menjadi rezeki mereka pada malam AJL22 apabila keempat-empat sang juara ini tewas dan gagal membawa sebarang anugerah pada malam itu.
Kegagalan pada malam itu bukanlah bermakna mereka tidak bagus cuma nasib tidak berpihak kepada senior-senior itu.
RAMLAH RAM (Dirgahayu)
Penyertaan penyanyi kelahiran Muar, Johor ini pada AJL22 dilihat sebagai lambang kebangkitannya di persada seni tanah air.
Meskipun usianya sudah melewati angka 40, namun, vokal Ramlah Ram tidak perlu dipertikaikan lagi saat melantunkan lagu Dirgahayu.
Masih lagi mantap dan memukau, ternyata pesona Ramlah masih unggul dan mempunyai aura tersendiri.
AISHAH (Kasihnya Balqis)
PEMILIK nama sebenar Wan Aishah Wan Arifin ini sememangnya antara penghibur yang cukup kreatif dan sering menampilkan kelainan dalam setiap persembahannya.
Aishah sering mempamerkan persembahan menarik selari dengan intipati lagu yang disampaikannya.
Untuk lagu Kasihnya Balqis, Aishah begitu bijak mencorakkan persembahannya dengan menampilkan konsep penceritaan.
Malah, dia turut menampilkan dua orang cahaya matanya sebagai pelakon dan penyeri pentas.
Vokal bekas penyanyi utama kumpulan The Fan Club ini tiada apa yang perlu dipertikaikan lagi.
Kemantapan dan kehebatan vokalnya membuktikan Aishah masih tiada tandingan dan hanya satu sahaja pemilik vokal sepertinya di negara ini.
Meskipun pernah dua kali bergelar juara, namun, kekalahan Aishah kali ini bukanlah bermakna dia tidak dihargai lagi tetapi mungkin lagu Kasihnya Balqis tidak begitu kuat untuk merangkul sebarang kejuaraan. Pokoknya, Aishah sudah menjadi legenda seni tanah air.
SITI NURHALIZA (Destinasi Cinta)
Penampilan penyanyi nombor satu negara ini paling dinantikan. Masakan tidak, selepas mengambil keputusan untuk merehatkan diri daripada bertanding di pentas AJL selepas tahun 2003, Siti Nurhaliza tampil dengan imej baru dalam mempersembahkan lagu Destinasi Cinta.
Lagu itu juga buat pertama kalinya, Siti mencaturkan diri dalam menyampaikan lagu berlandaskan muzik rock yang disulami dengan irama pop yang dilihat begitu kena dengan dirinya.
Saat melangkah kemas di pentas, sorakan dan pekikan penonton sudah tidak mampu dikawal lagi. Siti membuktikan bahawa auranya masih lagi ada meskipun status dirinya kini sudah berubah.
Ramai yang terkejut dengan persembahan berani dan tidak keterlaluan jika dikatakan, Siti kini semakin bijak memberikan persembahan yang matang selain semakin yakin dengan persembahannya.
Malah, Siti turut membuktikan bahawa dengan imej bertudungnya itu dia masih lagi mampu menari dan memberikan persembahan yang cukup menarik perhatian penonton.
Ramai yang meramalkan dia mampu membawa pulang anugerah Persembahan Terbaik ataupun Vokal Terbaik tetapi apakan daya, rezeki tidak memihak kepada dirinya.
Setidak-tidaknya dia membuktikan kehadirannya di pentas AJL masih lagi diterima dan semangatnya dalam memberikan persembahan yang berbeza wajar dipuji.
MISHA OMAR dan ANDY (Sembunyi)
Pertama kali muncul menyampaikan lagu duetnya bersama penyanyi utama kumpulan Flop Poppy, Andy lagu Sembunyi juga dilihat sebagai calon utama untuk mengungguli kategori Pop Rock.
Misha Omar yang sebelum ini pernah memenangi Vokal Terbaik sebanyak dua tahun berturut-turut dilihat berjaya menyampaikan lagu Sembunyi dengan begitu baik sekali.
Ditambah dengan suara serak basah Andy menjadikan lagu Sembunyi merupakan antara gandingan duet terbaik setakat ini. Mungkin juri mahu mengambil pendekatan berbeza dalam pertandingan kali ini dalam memilih pemenangnya menjadikan Sembunyi gagal membawa sebarang anugerah.