Fatimah restu cinta Amani, Que
KEMESRAAN Amani, Que sering menimbulkan tanda tanya, adakah mereka bercinta?
Pasangan pelakon remaja sering kelihatan di kebanyakan majlis hiburan bersama aksi mesra mereka
SEJAK kebelakangan ini, kebanyakan media sering saja memaparkan aksi mesra yang terjalin antara aktres popular, Sharifah Amani bersama pasangannya, bintang KL Menjerit, Que Haidar yang berjaya dirakamkan juru gambar ketika mereka menghadiri majlis atau acara hiburan yang menghimpunkan ramai artis terkenal.
Mereka tak cover line, selamba saja berpeluk, berkepit, berbisik, bergelak ketawa dan berpimpin tangan sepanjang masa sambil diperhatikan banyak mata yang ada di sekeliling mereka, Zubir tabik springlah! Justeru, ada yang berbisik kepada Zubir, Amani dan Que bukannya bercinta betul-betul, tapi sengaja buat gimik di depan wartawan kerana kedua-duanya berlakon sama dalam filem terbaru, Selamat Pagi Cinta!
Justeru, apabila ada gimik cinta, secara tak langsung filem boleh laku. Pun begitu, Zubir melihat kemesraan yang terjalin antara mereka dari perspektif yang berbeza. Daripada pengamatan Zubir secara peribadi, dari lenggok bahasa tubuh Amani dan Que, Zubir berani membuat telahan, mereka bukannya berlakon bercinta, sebaliknya memang sedang dilamun cinta, tak syak lagi!
Sekurang-kurangnya mereka tidak hipokrit dari sudut bahasa tubuh yang memberi ruang kepada orang ramai membuat andaian bahawa mereka sebenarnya memang dilamun asrama, sekalipun belum ada sebarang kenyataan rasmi yang keluar daripada mulut kedua-duanya memberi pengesahan mengenai perasaan cinta yang wujud di hati masing-masing.
Namun, ketika Zubir menghadiri majlis sambutan hari jadi Datin Seri Siti Nurhaliza di Hotel Le Meridien minggu lalu, kebetulan ibu Amani, Fatimah Abu Bakar yang juga bekas tenaga pengajar Akademi Fantasia (AF) turut berada di sana. Lebih best lagi, Amani dan Que turut berada berhampiran Fatimah atau lebih senang disapa sebagai Kak Fatty saja. Terus Zubir bertanyakan perihal Amani dan Que kepadanya.
“Mereka (Amani dan Que) berdua tu memang berkawan baik. Saya tak ada masalah apa-apa,” jelas Kak Fatty ringkas. Tidak berpuas hati dengan jawapan itu, Zubir terus mengasak, jadi Kak Fatty ‘blessing’ ke kalau mereka betul-betul bercinta? “Saya restu saja hubungan mereka,” tambah Kak Fatty sambil tersenyum meleret.
Baguslah kalau macam tu. Apabila berkawan, berkasih dan bercinta, restu daripada keluarga itu yang amat penting. Zubir mendoakan agar hubungan mesra Amani dan Que akan terus diberkati, seterusnya berakhir di jinjang pelamin, insya-Allah.
Tapi, sebelum ini Zubir turut mendengar desas-desus, Amani pernah berkawan rapat dengan pegawai perhubungan awam (PRO) kepada seorang artis terkenal, apa dah jadi dengan ‘Mamat’ handsome tu, tak makan hati ke dia, kekasih dah beralih cinta, ooops! Jangan marah ya, Amani, Que, Abang Zubir gurau-gurau geli saja!