Benitez dapat sokongan pemilik kelabHICKS (kanan) dan seorang lagi pemilik Liverpool, George Gillett memberi kepercayaan kepada Benitez untuk (gambar kecil) terus membimbing The Reds.
LONDON - Pengurus Liverpool, Rafael Benitez akan kekal di Anfield untuk sekurang-kurangnya dua tahun lagi.
Demikian jaminan yang diberikan pemilik kelab, Tom Hicks mengenai masa depan pengendali kelahiran Sepanyol itu.
Pada masa yang sama, Hicks juga mendedahkan bahawa kelab Liverpool tidak sesekali akan dijual kepada pelabur dari Dubai, Dubai Investment Capital (DIC).
"Tidak pernah terlintas difikiran saya untuk menjual kelab ini. Saya mahu memberi kepuasan kepada penyokong dan mahu mereka melihat apa yang telah saya lakukan," jelas Hicks.
"Apa yang pasti, kelab ini tidak akan dijual."
Hicks juga berharap untuk mendapat sokongan daripada peminat ekoran komitmen yang diberikannya kepada karier Benitez.
"Saya mahu Rafa kekal membimbing Liverpool dan saya akan terus menyokongnya," jelas Hicks.
"Dia ada kontrak untuk tempoh dua tahun lagi dan Rafa boleh kekal bersama kelab ini selagi dia masih mempunyai kontrak dengan kami. Namun, saya tetap berharap dia akan kekal untuk tempoh yang lama."
Sementara itu, Hicks juga menyuarakan keyakinannya untuk memberi sepenuh perhatian kepada aspek pembangunan dalam kelab itu.
"Semua penyokong tahu pasukan ini akan memiliki sebuah stadium terbaik di dunia dan kini, kami juga memiliki seorang jurulatih yang hebat.
"Kami tidak akan menolak sebarang cadangan untuk mendapatkan bajet ataupun pemain baru.
"Kami telah menyediakan peruntukan untuk musim perpindahan ini dan pasukan ini juga telah bersedia untuk mengekalkan Javier Mascherano sebagai pemain tetap," tambah Hicks. - Agensi