GENERASI muda Jepun kini sedang berdepan dengan gelombang gaya hidup baru abad ke-21 yang begitu bergantung kepada gajet teknologi tinggi. Telefon bimbit adalah gajet yang menurut kajian lebih 95 peratus generasi muda Jepun mengakui tidak dapat hidup tanpanya.
Kira-kira satu pertiga pelajar sekolah rendah Jepun berusia tujuh hingga 12 tahun sudah mempunyai telefon bimbit sendiri. Peratusan tersebut dikatakan akan meningkat sehingga 96 peratus bagi pelajar sekolah menengah. Ia merupakan statistik yang didedahkan menerusi kaji selidik kerajaan yang dilakukan pada bulan lalu.
Mereka menggunakan telefon bimbit untuk membaca buku, mendengar muzik, berbual dengan rakan dan melayari internet. Secara puratanya 124 minit sehari bagi pelajar sekolah menengah perempuan dan 92 minit bagi lelaki. Walaupun sistem teknologi komunikasi tanpa wayar yang semakin berkembang di Jepun menawarkan pelbagai manfaat pendidikan, tetapi tiada siapa dapat menolak kesan hitamnya, ujar pakar sambil memberi contoh peningkatan buli dalam sistem siber dan kemahiran sosial remaja yang semakin rendah.
“Ketika ditanya apakah yang paling penting dalam hidup mereka, hampir 99 peratus kanak-kanak memberitahu telefon bimbit,” kata Ketua Majlis Kaunseling Laman Web Kebangsaan, Masashi Yasukawa.
“Bayangkan, jari jemari mereka masih tidak berhenti menekan pad kekunci telefon bimbit walaupun ketika makan dan menonton televisyen.”
Kesungguhan Ayumi Chiba, 20, menyatakan kepentingan telefon bimbit dalam hidupnya mungkin membuktikan betapa hebatnya kesan gajet itu dalam hidup remaja.
“Hidup saya tidak dapat dibayangkan tanpa telefon bimbit di sisi. Mungkin saya hilang arah atau boleh gila.
“Malah, saya akan berpura-pura sakit dan pulang dari sekolah awal sekiranya saya terlupa membawa telefon bersama,” ujarnya.
Hideki Nakagawa, seorang Profesor Sosiologi di Universiti Nihon, Tokyo memberitahu telefon bimbit sudah menjadi satu obsesi yang melampau dalam kalangan generasi muda.
“Mereka berasa hidup seperti tidak lengkap tanpa telefon bimbit, sama seperti seorang jurujual tanpa kad bisnes,” katanya.
Dengan fungsi telefon bimbit zaman ini yang semakin pelbagai, ia mempunyai peranan tersendiri dalam hidup remaja. Malah, ia juga digunakan sebagai satu senjata dalam kalangan remaja untuk ‘menyerang’ rakan-rakan yang tidak sebulu tanpa memikirkan kesannya.
Yasukawa mengimbas kembali kes seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun yang sering menerima mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) mengatakannya: “Mati”, “Kamu seorang penyibuk” dan “Anda busuk”.
Rupa-rupanya SMS itu didapati dihantar oleh seorang rakannya sendiri yang pernah berselisih faham dengannya. Bagaimanapun, selepas dikesan, rakannya itu memberitahu polis, dia hanya bergurau.
“Walaupun ia hanya dikatakan mesej untuk bergurau, namun yang pasti ia telah mengganggu emosi remaja yang dibuli. Malah, dengan pelbagai cara lain seperti mesej bergambar yang mengaibkan dan pesanan suara menggugut, kesemua itu telah meninggalkan trauma yang lebih dahsyat,” katanya yang mengakui telefon bimbit kini menjadikan dunia semakin menakutkan.
Katanya, itu belum lagi melihat kesan terhadap kemahiran sosial generasi muda yang dikatakan semakin tumpul. Seorang pakar pendidikan, Profesor Tetsuro Saito memberitahu, dalam satu kaji selidik melibatkan 1,600 pelajar berusia sekitar 14 tahun, didapati sebanyak 60 peratus daripada mereka membawa telefon bimbit ke sekolah. Separuh daripadanya menggunakan telefon untuk menghantar 20 atau lebih emel dalam sehari.
Kebanyakan pelajar sekolah menengah jarang menggunakan telefon untuk bercakap. Saito yang mengajar di Universiti Wanita Kawamura Gakuen, Tokyo, berkata, remaja dilihat cenderung kepada satu bentuk komunikasi di mana identiti mereka tidak begitu terdedah atau tidak berurusan dengan seseorang secara bersemuka.
“Komunikasi secara personal seperti sudah terikat. Gajet seperti telefon sudah menjadi satu ‘orang tengah’ kepada perhubungan zaman ini,” katanya.
Tomomi, 18, yang enggan memberitahu nama penuhnya berkata: “Saya menghantar lebih 20 emel sehari. Ada ramai pelajar yang saya tidak bercakap dengan mereka walaupun saya bertembung dengan mereka di sekolah. Saya hanya menghantar emel untuk berhubung. Saya rasa kami lebih senang dihubungkan melalui mesin.”
Kaji selidik Saito mendapati telefon bimbit turut memberi kesan kepada kehidupan keluarga sehingga mengundang pelbagai masalah.
Selain semakin kurang komunikasi dalam keluarga, gajet ini juga menjurus kepada keretakan hubungan dan pelajar cenderung menggunakan telefon secara melampau.
Akibatnya, sebagai contoh seorang ibu, Kanae Yokoyama, 36, sedang berdepan dengan perbicaraan apabila memukul dan menyebabkan kepala anak perempuannya berusia 15 tahun terkehel.
Kecederaan itu terjadi apabila Yokoyama mendapati anaknya menggunakan telefon bimbit secara rahsia sejak November lalu. Bil telefon bimbit yang telah digunakan anak gadisnya mencecah RM4,000 pada bulan Oktober sahaja kerana memuat turun muzik, permainan video dan gambar.
“Memandangkan gadis itu turut sering ponteng dari sekolah, telefon bimbit mungkin satu-satunya kawan gadis itu,” menurut kenyataan polis.