[url=mailto://][/url]
WASHINGTON: Langkah mengurangkan pengambilan kafein mungkin membantu mereka yang mengalami penyakit diabetes biasa mengawal lebih baik paras gula dalam darah, kata penyelidik semalam.
Ujian menunjukkan paras glukos dalam darah sekumpulan penghidap diabetes jenis 2 meningkat sepanjang hari apabila mengambil kafein terutama selepas makan, kata penyelidik di Pusat Perubatan Universiti Duke di Durham, North Carolina.
"Kafein dilihat mengganggu metabolisme glukos dalam cara yang boleh membahayakan orang yang menghidap diabetes jenis 2," kata James Lane, ahli psikologi perubatan yang mengetuai kajian itu dalam temuramah menerusi telefon.
Kafein ditemui dalam kopi, teh dan kebanyakan minuman ringan.
Diabetes adalah keadaan di mana paras gula dalam darah terlalu tinggi. Mempunyai terlalu banyak glukos dalam darah boleh merosakkan mata, buah pinggang dan saraf. Diabetes juga boleh menjurus kepada penyakit jantung, angin ahmar dan menyebabkan anggota badan dipotong.
Diabetes jenis 2 adalah dalam bentuk yang turut dikatakan sebagai punca kegemukan.
Penemuan baru dilihat membalas penyelidikan sebelum ini berhubung diabetes dan kafein. Kajian terdahulu menunjukkan mereka yang minum kopi mengurangkan risiko diabetes jenis 2 dan mereka yang minum paling banyak kopi mempunyai risiko paling rendah.
Penyelidik menggunakan teknologi baru pengesan glukos kecil yang dimasukkan di bawah kulit perut - untuk memantau paras glukos berterusan 10 orang, dengan purata umur 63 tahun.
Pada hari di mana peserta diberi empat kapsul mengandungi kafein bersamaan empat cawan kopi, purata paras harian gula meningkat lapan peratus berbanding pada hari di mana orang yang sama diberi empat kapsul plasebo, lapor penyelidik dalam jurnal Diabetes Care.
"Apa yang kami tunjukkan di sini ialah apabila orang dengan diabetes jenis 2 yang biasa minum kopi, ia menyebabkan penurunan pada glukos sepanjang hari berbanding jika mereka tidak mengambil kafein," kata Lane. Reuters