Ferguson tak gusar cicir dua mata di White Hart Lane
[url=mailto://][/url]
LONDON: Alex Ferguson menegaskan Manchester United masih berupaya mengekalkan mahkota kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun dipaksa sehingga ke waktu kecederaan sebelum menyamakan kedudukan dan meraih satu mata berharga ketika berdepan Tottenham, kelmarin.
Kejutan itu membolehkan Arsenal yang menang 3-1 ke atas Manchester City, melebarkan jurang dua mata di persada liga.
Bagaimanapun, Ferguson menegaskan, jurang itu akan dapat ditutup andai pasukannya terus mempamerkan semangat juang tinggi seperti yang dibuktikan di White Hart Lane.
"Sesetengah orang berkata kami tercicir dua mata tetapi ia mungkin menjadi mata berharga untuk kami," kata jurulatih yang berasal dari Scotland itu.
Serangan Dimitar Berbatov pada separuh masa pertama kelihatan bakal memberikan kemenangan kepada Spurs tetapi tekanan menggunung jelmaan United hingga ke waktu kecederaan, membuahkan hasil.
Carlos Teves menjulurkan kakinya ke depan bek Spurs, Michael Dawson untuk menyambut tendangan sudut pada waktu genting itu, menyaksikan bola singgah ke penjuru atas gawang bagi menyamakan kedudukan.
Arsenal sebaliknya membawa pulang tiga mata selepas meleburkan rekod tanpa kalah Manchester City di gelanggang sendiri manakala dalam satu perlawanan Liga Perdana Inggeris, Chelsea yang berada di tangga ketiga, terikat 1-1 dengan Portsmouth.
Ferguson berkata, Tottenham layak mendapat penghargaan berdasarkan persembahan baik pasukan itu dan membayangkan Juande Ramos sudah mula menghadirkan kesan besar ke atas kelab itu.
"Anda menyaksikan perubahan ketara Tottenham dan tidak timbul persoalan malah membuktikan Juande Ramos sudah melakukan tugas yang menakjubkan.
"Bagaimanapun, kami tidak pernah putus asa dan penghargaan tinggi dikalungkan kepada pemain. Saya fikir kami berhak meraih satu mata, tetapi sekadar itu yang termampu,"
Kemenangan Arsenal hadir terima kasih kepada jaringan Emmanuel Adebayor serta penyudahan sempurna Eduardo da Silva, dengan Gelson Fernandes menjaringkan gol tunggal City.
Bos Arsenal, Arsene Wenger mengakui kemenangan itu menjadi faktor seimbang selepas tempoh sekian lama.
"Keadaan begitu sukar di sini kerana mereka tidak pernah kalah di gelanggang sendiri," katanya. "Ini adalah kekalahan pertama mereka dan ia pasti sukar kerana mereka sering beranggapan tidak akan kalah di sini." AFP