Khir Toyo nafi suntik botox
PETALING JAYA 3 Feb. – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menafikan yang beliau mengambil suntikan botox atau melakukan sebarang pembedahan ke atas wajahnya.
Sebaliknya, beliau dalam nada berseloroh berkata, rahsia mukanya yang kini semakin tampak lebih muda dan berseri adalah kerana gemar memakan tempe yang menjadi hidangan utama masyarakat Jawa.
‘‘Tempe selain mempunyai kandungan protein yang tinggi, ia juga mempunyai khasiat melawan kanser berikutan penyediaannya yang melibatkan proses fermentasi.
‘‘Itu sahaja petua saya. Ini pembangkang fitnah saya pakai suntikan botoxlah, pembedahanlah sedangkan saya tak buat pun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Program Mengecat Bangunan di Taman Desa Ria PJS 5 di sini hari ini.
Mohamad Khir menambah, dakwaan dan fitnah sedemikian ke atasnya disifatkan oleh beliau sebagai dilakukan oleh golongan yang tidak mempunyai kerja.
Penampilan Mohamad Khir sejak tahun lalu menarik perhatian ramai apabila kulit mukanya bertambah licin dan sekali gus membuatkan beliau kelihatan lebih muda berbanding sebelumnya.
Selain itu, beliau juga tidak kelihatan memakai cermin mata seperti mana kebiasaannya.
Ini membuatkan pada masa yang sama pelbagai tanggapan timbul terhadap segala perubahan terhadap Menteri Besar Selangor itu termasuk kononnya beliau menggunakan rawatan wajah seperti botox dan lain-lain.
Turut hadir pada majlis itu Ketua Penerangan UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Kelana Jaya, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Setinggan, Perumahan dan Pengurusan Bangunan Negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Ahmad Dahlan