Natalie tarik diri, Nicol juara di New YorkOleh Harris Rajahdin
[url=mailto://][/url]STATUS Nicol David selaku pemain skuasy nombor satu dunia tetap tidak terancam lagi dengan perkembangan terkini menyaksikan dia terus unggul apabila meraih mahkota kejuaraan Terbuka Apawamis selepas menewaskan musuh tradisi, Natalie Grinham dalam perlawanan akhir di New York, kelmarin.
Namun, kemenangan kali ini tidak menerbitkan sebarang rasa kepuasan bagi dirinya apatah lagi lawan itu menarik diri daripada baki saingan selepas dilanda kecederaan pada permainan ketiga.
Pada kedudukan 6-6, Natalie, pemain nombor dua dunia yang hanya sekali menewaskan Nicol tahun lalu, terseliuh dan tercedera kaki kanannya untuk memberi laluan kepada Nicol yang tidak perlu banyak mengerah keringat.
Apapun, selepas berusaha bermain untuk beberapa minit lawan kelahiran Queensland, Australia itu tidak dapat meneruskan permainan dan terpaksa mengaku kalah kepada Nicol dalam aksi selama 45 minit.
Nicol, bermula garang dalam aksi pertamanya pada 2008, berazam untuk meneruskan kecemerlangan pada akhir 2007, yang menyaksikannya memenangi dua acara, Klasik Qatar dan Terbuka Hong Kong.
Olahragawati Asia itu mudah memenangi set pertama 9-1 dan mendahului 5-0 pada set kedua.
Natalie cuba bangkit tetapi tidak dapat mengejar Nicol yang menjadikan kedudukan 2-0 menerusi kemenangan 9-6.
Kejayaan terbaru ini menyaksikan rekod pertemuan profesional Nicol-Natalie 11-6 berpihak kepada Nicol.
Kemenangan itu membawa jumlah kemenangan Nicol di Jelajah Dunia Wispa kepada 25 dan mengukuhkan cengkamannya ke atas kedudukan nombor satu dunia. Tahun lalu adalah tahun paling cemerlang buatnya apabila berjaya meraih lapan gelaran.
Begitu pun ia tidak dapat memadamkan dukanya kehilangan gelaran Grand Slam - Terbuka British dan Terbuka Dunia.