Piquet Jr. beli jet peribadi bernilai RM8.4jPEMANDU Brazil, Piquet membeli jet peribadi untuk memudahkan urusan.
LONDON - Memiliki jet peribadi sendiri menjadi kemestian bagi setiap pelumba Formula Satu (F1).
Bagi pemandu muda dari Brazil, Nelson Piquet Jr., status pemandu baru dalam F1 tidak menghalangnya untuk memiliki jet peribadi bagi memudahkan urusan latihan.
Pemandu Renault itu membeli jet peribadi yang dikenali dengan nama Citation Mustang bernilai AS$2.6 juta (RM8.4 juta).
Menurut agensi berita Jerman,
DPA, pemandu berusia 22 tahun yang juga anak kepada bekas juara dunia sebanyak tiga kali, Nelson menerima kunci jet peribadinya daripada presiden syarikat penerbangan Brazil TAM, Rui Thomaz de Aquino.
"Saya memerlukan banyak masa untuk menjalani latihan dan perlu menggunakan masa tersebut dengan sebaik mungkin," jelas Nelson Piquet.
Begitupun, Nelson Piquet Jr. tidak berminat untuk mengikut jejak langkah bapanya yang memandu sendiri jet peribadinya pada setiap perlumbaan Grand Prix.
"Saya akan menyewa seorang juruterbang profesional untuk memudahkan segala urusan," jelasnya.
Pada perlumbaan musim ini, Piquet akan bergandingan dengan bekas juara dunia sebanyak dua kali yang juga bekas pemandu McLaren, Fernando Alonso. - Agensi