Mulberry antara jenama turut tampil dengan rekaan menarikBEG tangan saiz besar yang menjadi kegilaan ramai di seluruh dunia ketika ini turut menjadi inspirasi bagi jenama terkenal, Mulberry untuk koleksi musim bunga/panas 2008 seperti yang dipaparkan sempena pelancarannya di pusat beli-belah Starhill Gallery di ibu kota, baru-baru ini.
Jenama mewah itu menampilkan beberapa koleksi beg untuk wanita dan lelaki yang menggunakan bahan seperti kulit dan denim. Selaras keceriaan dan kehangatan musim, jenama itu mengaplikasikan konsep serta tona bersesuaian yang bermain dengan rekaan segar dan bersih bergaya terkini pada setiap rekaan. Selain itu, reka bentuknya turut membawa beberapa kejutan dan menarik perhatian.
Koleksi beg untuk wanita yang diperbuat daripada kulit jenis monochromatic diberi suntikan warna semula jadi dengan pengasingan tiga rona pilihan iaitu kulit kayu, tanah dan perang kekuningan. Rekaan beg daripada material itu tampak lebih bergaya apabila digandingkan dengan koleksi pakaian yang sepadan.
Penampilan lengkap itu secara tidak langsung melihatkan pemiliknya sebagai gadis berkeyakinan dan berdikari. Kilauan material PVC dan denim yang segar pula membangkitkan lagi keseronokan untuk koleksi musim ini.
Untuk musim panas yang ceria, denim menjadi kunci utama. Ilham Baywater ditransformasi menjadi rona nila dan diperincikan dengan garisan. Unik, klasik dan tampak girang untuk ragam lebih lasak.
Roxanne pula diinspirasi dengan pendekatan lagak nakal dan lebih menarik reka bentuknya berukuran besar, manakala rona menjerit mendominasi siri itu. Rekaan besarnya seperti kegunaan untuk membeli-belah, tetapi ia berfungsi lebih daripada itu dan pilihan warna yang ada termasuklah merah, putih, biru serta hitam, manakala bahagian depannya dilengkapi dengan gancu (buckle).
Poppy satu lagi pilihan untuk wanita menampilkan bentuk baru untuk orang muda. Rekaan tampak lebih tenang dan didatangkan dengan jalinan dua zip pada bahagian tepi. Bentuk beg sekolah dalam rangkaian ini membawa elemen fesyen yang sebenar untuk bergaya lebih praktikal setiap hari dan menyerlahkan keyakinan.
Mewah dalam gaya segar, ringkas, tetapi menawan, itulah yang diketengahkan Sam Messenger. Sesuai dengan musim berkenaan, putih, merah dan hitam klasik serta perang kekuningan.
Koleksi beg untuk lelaki tidak kurang hebat apabila turut mengetengahkan denim, di samping kemasan perak dan fabrik kulit yang bersifat ringan. Pilihan material seperti itu mencipta identiti dan kelainan dalam penghasilan barangan lelaki jenama berkenaan.
Bagi mereka yang menggemari fesyen ala penunggang motosikal berkuasa besar, koleksi Warren ditampilkan. Rangkaian itu dihasilkan daripada kulit lembut dalam warna hitam atau perang serta memperlihatkan gaya lasak dengan kemasan butang dan zip yang berpoket besar dalam tiga saiz berbeza.
Anda boleh memilih daripada kemasan zip berbentuk ringkas sehinggalah yang bercorak sarat. Inspirasi gaya bertemakan lasak itu dilihat membuka gerbang baru ke arah keunikan satu lagi gaya vintaj dan moden rock.