Sentuhan Ramos menakjubkanLONDON - Keajaiban Juande Ramos.
Hasilnya, Tottenham Hotspur menjulang Piala Liga.
Ia detik yang cukup bermakna dalam karier pengurus baru Spurs itu yang baru memegang jawatan tersebut sejak Oktober tahun lalu.
Sebelum menghadiahkan Piala Liga kepada Spurs, Ramos pernah membantu Sevilla merangkul gelaran Piala UEFA selama dua musim berturut-turut.
Spurs mengesahkan kejuaraan Piala Liga buat kali pertama sejak melakukannya pada tahun 1999 selepas menewaskan Chelsea, 2-1 di Stadium Wembley kelmarin.
"Ia satu saat yang cukup menakjubkan apabila meraih trofi ini (Piala Liga) khususnya buat peminat dan juga kelab. Sudah terlalu lama kelab ini tidak meraih sebarang kejuaraan.
"Ini juga merupakan satu saat yang cukup istimewa kerana kami menentang pasukan yang hebat (Chelsea). Ia sama seperti Sevilla menewaskan Real Madrid dan Barcelona," kata Ramos.
|
BANGGA... Ramos menjulang Piala Liga selepas skuad kendaliannya, Spurs menewaskan Chelsea di Wembley kelmarin.
|
Pada aksi semalam, percaturan taktikal yang diterapkan Ramos dilihat lebih menjadi berbanding pengendali Chelsea, Avram Grant.
Ketika kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas tamat masa sebenar, Jonathan Woodgate muncul wira Spurs apabila meledak gol kemenangan pasukannya pada masa tambahan.
Terdahulu, Didier Drogba meletakkan Chelsea di hadapan sebelum Dimitar Berbatov menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti.
"Kejayaan sentiasa akan hadir kepada sesiapa sahaja di kelab ini. Yang pasti, Tottenham akan menjadi pasukan terhebat satu hari nanti," jelas pengendali dari Sepanyol itu.
"Pasukan ini telah memperlihatkan kematangan. Mereka membuktikannya ketika menentang Manchester United, Arsenal, Chelsea dan juga beberapa pasukan lain.
"Pemain telah menunjukkan bahawa mereka mampu menentang pasukan terbaik. Kunci utama (kejayaan) ialah sentiasa fokus dan tidak melakukan kesilapan."
Sementara itu, Grant berkata, anak buahnya terpaksa membayar harga yang tinggi ekoran kekalahan tersebut.
"Kami tidak bermula dengan baik tetapi kami mula menunjukkan permainan teratur ketika perlawanan berlangsung. Selepas memperoleh gol pertama, kami mula menguasai perlawanan.
"Kemudian, Spurs diberikan sepakan penalti dan saya rasakan ia satu keputusan yang agak mengecewakan. Bukan salah pengadil tetapi pembantunya," kata Grant.
Namun, Grant enggan menyalahkan barisan pertahanannya yang dilihat gagal mengawasi Woodgate dengan baik sehingga membolehkan pemain pertahanan Spurs itu menjaringkan gol.
"Kami menang sebagai satu pasukan dan kami tewas sebagai satu pasukan," tambah Grant. - AFP