Yana peserta AF6 pertama tersingkir23/03/2008 12:29am
|
YANA... tersingkir pada Konsert pertama Prelude Akademi Fantasia musim ke 6, di Dewan Sivik, Petaling Jaya, semalam.
|
PETALING JAYA 22 Mac – Yana menjadi peserta pertama tersingkir dalam program realiti TV, Akademi Fantasia Musim Ke-6 (AF6) di sini malam ini.
Yana atau nama sebenarnya Marliyana Binti Omar Walid, 24, menyampaikan lagu Diriku Tapak Sulaiman mendapat undian yang paling rendah berbanding 13 peserta lain.
Peserta berasal dari Perak itu nyata tidak mampu menyembunyi perasaan sedihnya ketika diumumkan oleh pengacara AF6, AC Mizal, sebagai peserta pertama tersingkir di konsert minggu pertama AF6 yang diadakan di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Penyingkiran Yana itu memberi laluan kepada 13 peserta lain untuk berjuang bagi merebut gelaran juara AF6.
Para peserta lain ialah Mohamad Aliff Bin Mohd. Razali, 22, Muhammad Faisal Bin Abdullah, 21, Lutfyah Bt Sheikh Omar, 23, Muhammad Shauqi Naaim Bin Salmi, 20, Ahmad Nubhan Bin Ahmad , 22, Mohammed Idris Bin Mo hd. Zaizizi, 22, Siti Norsaida Bt Tarudin, 32, Nadia Haswani Binti Hasnan, 18, Ika Nabila Binti Abdul Rahim, 19, Stracie Angie Anam, 18, Stanley Maringai David Impi, 25, Khairul Nizam Bin Baharom, 31, dan Hairina Binti Abd Halim, 44.
Pelakon dan pengacara, Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Ning Baizura bertindak sebagai pengkritik tetap sambil ditemani oleh komposer Ajai selaku pengkritik undangan.
Juara AF6 bakal menerima hadiah bernilai lebih RM700,000 termasuk sebuah banglo empat bilik di A'Famosa, Melaka, kereta Peugeot 307X tajaan Naza Motor Sdn. Bhd. dan wang tunai berjumlah RM25,000 sumbangan Hotlink.
Selain itu, juara akan menerima hadiah percutian ke Afrika Selatan tajaan Mayfirst dan pakej pelancongan ke New Zealand tajaan Maybelline.
Naib juara bakal menerima hadiah bernilai lebih RM100,000, tempat ketiga (lebih RM20,000), tempat keempat (lebih RM9,000) dan tempat kelima (lebih RM7,000).
sumber : utusan malaysia